Gempa bumi gegar Kota Kinabalu

Gempa bumi kuat berlaku di perairan Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Satu gempa bumi dengan kekuatan magnitud 6.8 berlaku di perairan berhampiran Kota Kinabalu, Sabah sekitar pukul 12.57 pagi tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) memberitahu, gempa terbabit dikesan pada koordinat 7.0 darjah utara dan 116.4 darjah timur, dengan kedalaman 678 kilometer, kira-kira 49 kilometer (KM) ke barat Kudat.

Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Sabah, Sarawak, serta beberapa lokasi di Semenanjung Malaysia.

“Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami dilaporkan kepada Malaysia susulan kejadian itu. MET Malaysia akan terus memantau perkembangan dan keadaan seismik dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk di Kepayan, Noraini Jamin, 50, ketika dihubungi berkata, beliau terjaga daripada tidur apabila merasakan seperti ada gegaran di sekitar kediamannya di apartmen, di sini.

“Saya terjaga sekitar pukul satu pagi apabila terasa seperti ada gegaran dalam tempoh 10 saat. Gegaran saya rasakan tadi mengingatkan saya dengan kejadian gempa bumi tahun 2015.

“Selepas gegaran itu, saya keluar daripada rumah dan melihat ada beberapa orang jiran dibangunan apartmen saya tinggal juga keluar meninjau keadaan sekeliling. Bagaimanapun, keadaan masih terkawal,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk di Putatan, Nuralieya Marzuki, 28, berkata, sekitar kejadian gegaran itu, beliau terjaga daripada tidur dan beranggapan hanya merasa pening.

“Namun suasana dalam rumah kecoh seketika apabila semua ahli keluarga keluar daripada bilik ketika gegaran itu. Gegaran itu hanya berlaku dalam tempoh sekejap saja,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN