KOTA BHARU: Dua lelaki tempatan yang menjadi dalang penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan dalam serbuan di Kampung Raja Seskyen 2 di sini semalam.
Dalam serbuan pukul 12 tengah malam itu, JIM Kelantan turut menahan lima PATI warganegara Myanmar yang terdiri dari dua lelaki dan tiga wanita.
Timbalan Pengarah Imigresen negeri Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati kesemua PATI berusia 20 hingga 40 tahun itu dibawa masuk melalui pangkalan haram di Sungai Golok.
Katannya, PATI itu kemudian dibawa ke jeti Gok Kapur, Sungai Kelantan di sini sebelum dibawa ke lokasi transit di Kampung Raja Seksyen 2 bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Kedua-dua warga tempatan yang menjadi dalang membawa masuk PATI di ditahan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
“Kita akan menjalankan siasatan lanjut, bagi mengenalpasti rangkaian sindiket yang terlibat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Nik Akhtarulhaq memberitahu, kesemua warga asing ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah
untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
“JIM Kelantan menggesa supaya orang ramai tampil menyalurkan maklumat berkaitan PATI atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudahcara dan bersubahat dalam melindungi PATI,” ujarnya-UTUSAN










