KANGAR: Perbezaan budaya dan kaum tidak sepatutnya menjadi tembok pemisah dalam kalangan rakyat di negara ini yang perlu sentiasa mengekalkan keharmonian.
Menyedari kepentingan itu, Dewan Muslimat Pas negeri mengambil inisiatif menyantuni masyarakat Tionghua bersempena Tahun Baharu Cina sekitar di sini semalam.
Selain menyantuni, sumbangan berupa buah limau serta kuih tradisional bahulu turut diberikan kepada masyarakat Cina.
Ketua Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Muslimat Pas negeri, Nuha Che Man berkata, inisiatif turun padang menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada masyarakat Tionghua itu adalah sebahagian daripada Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang diterjemahkan parti Islam itu.
Katanya, ia juga sebagai manifestasi parti itu bagi meruntuhkan stigma terhadap Pas serta merapatkan jurang antara masyarakat di negara ini.
“Inilah perpaduan yang kita bina bersama tanpa mengira latar belakang kaum. Komuniti bukan Islam juga perlu diberi peluang untuk melihat dan merasai sendiri pendekatan Pas yang sentiasa meletakkan kebajikan serta kerukunan hidup bermasyarakat,” katanya.
Nuha berkata, melalui program itu, ikatan kasih sayang dan saling menghormati antara kaum terus diperkasakan.
“Walaupun pemberian tersebut sekadar buah tangan yang kecil, namun nilainya membawa makna cukup besar dalam konteks membina jambatan perpaduan dan mengekalkan keharmonian di Malaysia,” katanya.-UTUSAN










