Daun pisang resipi kuih bakul tiga generasi

Daun pisang resipi kuih bakul tiga generasi

LIM Siow Wah bersama tempahan kuih bakul yang dihasilkannya ketika ditemui di rumahnya di Pekan Pengkalan Kempas, Port Dickson.-UTUSAN / NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kuih bakul atau Nian Gao antara sajian tradisional yang sinonim dengan sambutan Tahun Baharu Cina sebagai simbol kemakmuran dan kemajuan dalam kehidupan, selain membawa maksud tahun demi tahun semakin tinggi.

Berbekalkan resipi turun-temurun daripada neneknya, seorang suri rumah di sini menghasilkan kuih bakul dengan kaedah tradisional secara kecil-kecilan sejak tiga tahun lalu.

Lim Siow Wah, 54, berkata, kemahiran menghasilkan kuih tersebut dipelajari daripada ibunya selepas mendapati harga di pasaran agak mahal.

Menurutnya, pada awalnya dia tidak berhasrat untuk menjual kuih berkenaan, namun berubah fikiran selepas rakannya yang mencuba kuih bakul buatannya lalu meminta untuk menjualnya.

“Bapa saya dulu menjual kuih dan resipi yang digunakan sekarang adalah resipi tradisi keluarga daripada nenek.

“Ia bermula selepas kawan mencuba kuih bakul yang saya buat, dan dia kata sedap. Selepas itu, mereka terus meminta saya untuk menjualnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kini, Siow Wah menerima lebih 100 tempahan setiap tahun, khususnya daripada rakan-rakan dan penduduk di sekitar Negeri Sembilan.

Siow Wah berkata, kuih bakul yang dihasilkan menggunakan bahan asas iaitu tepung beras serta campuran gula putih dan gula merah serta masih mengekalkan kaedah pembungkusan tradisional menggunakan daun pisang.

“Kawan-kawan saya beritahu yang mereka suka aroma kuih yang dibungkus daun pisang. Bau wangi itu buat rasa lebih tradisional serta rasanya yang kurang manis,” katanya.

Tambahnya, proses menghasilkan kuih bakul bukanlah sesuatu yang mudah kerana memerlukan kawalan api yang teliti selain tempoh mengukus selama enam jam.

Siow Wah turut berkongsi bahawa terdapat pantang larang dalam penyediaan kuih bakul, iaitu tidak boleh dibuat ketika pembuatnya sedang datang bulan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN