Cubaan seludup lebih 4.6 tan minyak masak ke Thailand gagal - Utusan Malaysia

Cubaan seludup lebih 4.6 tan minyak masak ke Thailand gagal

ASWADI Jaafar (kiri) memeriksa minyak masak peket yang dirampas dalam serbuan di Tumpat, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Taktik licik sindiket penyeludupan yang menggunakan khidmat ‘tonto’ untuk menyeleweng lebih 4.6 tan minyak masak bersubsidi ke negara jiran gagal selepas diserbu anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan semalam.

Serbuan pada pukul 8.30 pagi itu dilakukan oleh sepasukan anggota dari Unit Risikan dan Tindakan Khas KPDN di Kampung Periok, Chabang Empat, di sini.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Aswadi Jaafar, berkata semasa melakukan rondaan rutin, anggota bertugas mengesan sebuah lori yang dipercayai membawa barang kawalan dan dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, ketika mengekori lori tersebut, sebuah trak pikap yang bertindak sebagai ‘tonto’ dikesan bagi membantu melancarkan pergerakan lori terbabit.

“Kedua-dua kenderaan itu kemudian terus memasuki kampung dan anggota bertugas bertindak menyerbu kedua-dua kenderaan berkenaan.

“Bagaimanapun, seorang lelaki yang dipercayai pemandu lori melarikan diri ke dalam semak berhampiran selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Aswadi memberitahu, trak pikap jenis Toyota Hilux turut ditinggalkan selepas pemandunya melarikan diri.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas lori berkenaan menemukan 4,692 kilogram minyak masak paket satu kilogram pelbagai jenama yang disyaki untuk diseleweng.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan berjumlah RM56,730.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN