PETALING JAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki disiasat berhubung pelbagai dakwaan terhadapnya termasuk memiliki 17.7 juta saham bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat.
Beliau akan disiasat menerusi sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan kerajaan yang akan diketuai Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar bagi meneliti segala dakwaan itu secara terperinci sebelum laporan lengkap dibentangkan kepada Kabinet.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Setelah selesai siasatan, hasil dapatan akan dimaklumkan semula kepada Jemaah Menteri untuk sebarang tindakan susulan. Ini adalah dalam usaha untuk memastikan aspek ketelusan dan integriti dalam proses siasatan,” katanya pada sidang akhbar mingguan di Kementerian Komunikasi di Putrajaya, semalam.
Sementara itu, Anwar menegaskan, tiada keperluan untuk menggantung atau merehatkan Azam dalam tugasnya ketika ini susulan dakwaan yang dikaitkan dengannya.
Beliau berkata, sebarang keputusan berhubung perkara itu hanya akan dipertimbangkan selepas siasatan awal dilakukan dan asas kes berkenaan dikenal pasti.
“Sekarang biar dikaji dahulu. Kita perlu pastikan sama ada kes itu serius serta mempunyai asas sebelum tindakan lanjut diambil.
“Jangan kerana kita menjadi mangsa atau berada di bawah tekanan, peluang ini digunakan untuk menekan pihak lain. Biarlah ia diteliti dengan sebaiknya. Perkara ini baru dibincangkan pagi tadi (semalam),” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Pusat Islam, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam semalam.
Sementara itu, menurut Anwar, jawatankuasa tersebut akan meneliti kes mengikut proses biasa dengan kerjasama pihak berkaitan termasuk Peguam Negara serta Ketua Perkhidmatan Awam.
Katanya, siasatan perlu dijalankan secara telus dan terbuka bagi memastikan semua isu dapat dinilai secara adil tanpa menjejaskan mana-mana pihak.
“Kita akan kaji secara telus dan terbuka supaya segala permasalahan dapat diperhalusi dengan sebaiknya. Pada masa sama, saya tidak mahu perkara ini mengganggu peranan SPRM secara keseluruhan.
“Ini kerana tentunya ada pihak yang cuba mengekang usaha mereka, lebih-lebih lagi apabila agensi itu semakin tegas mengambil tindakan terhadap rasuah. Pihak berkepentingan yang melindungi perasuah mungkin akan menggunakan isu ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak terlibat rasuah dan menegaskan SPRM perlu terus menjalankan tugas.
“Sebab itu saya tegaskan ada dua perkara berbeza. Pertama, siasatan atau kajian yang dikendalikan badan diketuai KSN dan kedua, jangan sesekali dianggap ini usaha melindungi perasuah.
“Seperti yang dapat dilihat di Parlimen dan di luar, termasuk dalam kalangan ahli politik serta sebahagian pertubuhan bukan kerajaan, tekanan terhadap rasuah (lindung) sering kali minimum. Malah dalam kes berprofil tinggi juga sokongan amat terhad.
“Negara ini mesti diselamatkan dari angkara durjana rasuah yang merebak menyeluruh sekarang,” ujarnya.
Sebelum ini sebuah portal berita antarabangsa mendakwa Azam memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd. yang dianggarkan bernilai RM800,000 berdasarkan pemfailan korporat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Sementara itu, Azam menerusi kenyataan memaklumkan bersedia disiasat mana-mana jawatankuasa bagi meneliti secara khusus berkaitan pemilikan saham beliau itu seperti yang telah dilaporkan media.
“Saya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan. Semua pengisytiharan kewangan dan harta telah dibuat selaras dengan peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa serta melalui saluran rasmi yang ditetapkan, sebagaimana yang diwajibkan ke atas setiap penjawat awam.
“Saya mengalu-alukan sebarang proses yang telus, bebas dan objektif bagi menentukan fakta berasaskan bukti serta mengikut prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang.
“Pendekatan sedemikian penting bukan sahaja untuk mempertahankan integriti peribadi saya, malah bagi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai sebuah institusi,” katanya.
Sementara itu, lapan orang Ahli Parlimen PKR mendesak kerajaan supaya menggantung tugas Azam susulan pendedahan itu.
Jurucakap kumpulan tersebut iaitu Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, tindakan menggantung tugas terhadap Azam adalah bagi membolehkan siasatan menyeluruh, bebas dan telus dapat dijalankan terhadap dakwaan-dakwaan yang dilaporkan.-UTUSAN.










