SYDNEY: Kerajaan Australia akan menyokong cadangan untuk menyingkirkan adik Raja Charles III, Andrew Mountbatten-Windsor daripada keturunan pewaris diraja.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese menyatakan sokongan itu menerusi surat kepada rakan sejawatannya di United Kingdom (UK), Keir Starmer.
“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Starmer, susulan perkembangan terkini berkaitan Andrew Mountbatten-Windsor, saya menulis untuk mengesahkan kerajaan saya akan bersetuju dengan sebarang cadangan untuk menyingkirkannya daripada keturunan perwarisan diraja.
“Saya bersetuju Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia bahawa undang-undang mesti berjalan sepenuhnya dan perlu ada siasatan menyeluruh, adil dan wajar. Ini adalah tuduhan serius dan rakyat Australia memandangkan serius perkara ini,” menurut surat itu.
Jurucakap kepada Starmer mengesahkan surat berkenaan diterima dan memaklumkan kerajaan sedang mempertimbang sama ada langkah selanjutnya diperlukan berhubung Andrew.
“Memandangkan siasatan polis masih berjalan, tidak sesuai untuk kerajaan mengulas lanjut pada peringkat ini,” kata jurucakap itu.
Andrew kekal sebagai individu kelapan dalam barisan pewaris takhta walaupun dilucutkan gelarannya termasuk ‘putera’ pada Oktober tahun lalu, berikutan kontroversi hubungannya dengan pesalah seks, Jeffrey Epstein.
Kerajaan UK kini dilaporkan sedang mempertimbang untuk memperkenalkan undang-undang bagi menyingkirkannya daripada senarai pewaris takhta.
Ia susulan penangkapan Andrew kerana disyaki melakukan salah laku dalam jawatan awam pada Khamis lalu. Beliau secara konsisten dan tegas menafikan sebarang salah laku.
Beliau dibebaskan di bawah siasatan kira-kira 11 jam selepas ditahan oleh Polis Thames Valley.
Penyingkiran Andrew daripada susur galur pewarisan takhta memerlukan akta Parlimen yang disokong oleh 14 negara Komanwel, di mana Raja Charles merupakan ketua negara, termasuk Australia.- BBC










