Air Kelantan pulih sepenuhnya menjelang 2030 - Utusan Malaysia

Air Kelantan pulih sepenuhnya menjelang 2030

SAIZOL ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Penantian lebih tiga dekad rakyat negeri ini untuk menikmati bekalan air bersih yang stabil dan berkualiti dijangka berakhir dalam tempoh empat tahun lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Saizol Ismail, berkata keyakinan itu bersandarkan kepada pelaksanaan 34 projek bekalan air yang kini sedang giat dibina dan dirancang, termasuk pembinaan serta penaiktarafan Loji Rawatan Air (LRA) di beberapa daerah.

Menurutnya, daripada keseluruhan projek tersebut, 13 telah siap sepenuhnya, manakala sembilan sedang dalam pembinaan.

“Baki selebihnya, iaitu 16 dalam proses reka bentuk manakala sembilan lagi di peringkat perancangan. Insya-Allah, apabila semua projek ini siap sepenuhnya, masalah air yang sekian lama membelenggu rakyat Kelantan akan dapat diatasi secara menyeluruh.

“Kebanyakan projek dijangka siap menjelang 2028, manakala dua projek berskala besar akan disempurnakan pada 2030,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Mesra Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) Bersama Media Kelantan di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Saizol memberitahu kerajaan negeri menyasarkan penggantian paip lama sepanjang 150 kilometer (km) setiap tahun sebagai langkah agresif mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) dan menstabilkan bekalan air di Kelantan.

Katanya, penggantian itu merupakan antara komponen utama pelan pemulihan sistem bekalan air menjelang 2030.

“Daripada hampir 4,000 kilometer paip usang yang dikenal pasti, lebih 200 kilometer sudah diganti setakat ini. Kita menyasarkan sekurang-kurangnya 150 kilometer dapat ditukar setiap tahun secara berperingkat.

“Keutamaan diberikan kepada kawasan berisiko tinggi yang kerap mengalami kebocoran dan tekanan air rendah,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor berkata, Pasir Mas, Tumpat, Machang, Bachok dan Kota Bharu antara tujuh jajahan di Kelantan yang dikenal pasti berdepan masalah air.

Katanya, AKSB sudah mengambil langkah tertentu bagi mengatasi masalah berkenaan dengan penyediaan 16 lori bagi penghantaran air ke lokasi berkenaan.

“Akhir tahun lalu kita membuka tender dan mendapat geran daripada Kerajaan Pusat untuk penyediaan lori membabitkan kos RM6.7 juta bagi tempoh dua tahun.

“Bagi kawasan yang dikenal pasti kritikal masalah air, sebanyak 16 lori berkenaan akan menghantar bekalan dan dengan cara itu ia sedikit sebanyak membantu mereka yang berdepan masalah bekalan air,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN