32 maut dibom menjelang pembukaan lintasan Rafah

32 maut dibom menjelang pembukaan lintasan Rafah

KEADAAN di pintu masuk lintasan sempadan Rafah dengan Mesir di selatan Semenanjung Gaza.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Sekurang-kurangnya 32 orang, termasuk kanak-kanak, terbunuh dalam serangan Israel di Gaza pada Sabtu, menjelang pembukaan semula lintasan sempadan Rafah dengan Mesir semalam.

Israel kononnya mendakwa serangan yang menyasarkan pangsapuri kediaman, khemah, pusat perlindungan dan sebuah balai polis itu sebagai tindak balas terhadap pelanggaran gencatan senjata Hamas.

Walaupun kematian berlaku hampir setiap hari di Gaza sejak gencatan senjata bermula pada 10 Oktober, jumlah korban pada Sabtu dilaporkan yang tertinggi berbanding sebelumnya.

Pertumpahan darah terbaharu berlaku selepas Israel mengumumkan rancangan untuk membuka semula lintasan Rafah antara Gaza dan Mesir pada Ahad, bagi pergerakan terhad orang awam.

“Selaras dengan perjanjian gencatan senjata dan arahan kepimpinan politik, lintasan Rafah dibuka hari ini (Ahad) untuk pergerakan terhad penduduk sahaja.

“Sebagai sebahagian daripada langkah ini, fasa perintis awal dimulakan pada Ahad, dilaksanakan dengan kerjasama Misi Bantuan Sempadan Kesatuan Eropah (EUBAM), Mesir dan semua pihak berkepentingan,” kata COGAT, badan Kementerian Pertahanan Israel yang menyelaras hal ehwal awam Palestin.

COGAT berkata, semua pihak terlibat sedang melaksanakan ‘persiapan awal’ bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan ke arah operasi penuh di lintasan tersebut.

“Pergerakan sebenar penduduk ke kedua-dua arah akan bermula selepas persiapan ini selesai,” katanya.

Menurut data COGAT, kira-kira 42,000 penduduk Gaza meninggalkan wilayah itu sepanjang perang, kebanyakannya terdiri daripada pesakit yang mendapatkan rawatan perubatan di luar negara atau individu dengan dua kewarganegaraan.

Media Israel semalam melaporkan, pergerakan orang ramai dijangka bermula hari ini di kedua-dua arah, dengan 150 penduduk boleh meninggalkan Gaza setiap hari berbanding 50 orang yang dibenarkan masuk.

Semua rakyat Palestin yang ingin masuk atau keluar dari wilayah itu diwajibkan mendapat kelulusan Mesir, dan senarai nama tersebut akan diserahkan kepada agensi keselamatan dalam negeri Israel, Shin Bet, untuk proses tapisan keselamatan.

Sepasukan wakil Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan pemantau dari EU yang ditempatkan di lintasan itu akan bertanggungjawab menjalankan pemeriksaan keselamatan ke atas individu yang meninggalkan Gaza.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN