ARAU: Cuaca panas di Perlis yang terus berlarutan menyebabkan lebih 291.8 hektar kawasan sawah khususnya di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di negeri ini terjejas teruk berikutan tanaman padi yang kering serta tanah merekah.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Megat Hashirat Hassan berkata, kawasan yang terjejas itu atas faktor saliran dan punca air mengairi kawasan sawah terlibat.
Katanya, sebahagian besar petani di Perlis akan terjejas berikutan situasi panas dan kemarau ketika ini.
“Walaupun ada kemudahan bantuan seperti pam disediakan oleh MADA dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), namun masih ada tempat-tempat tertentu yang akan terjejas berikutan situasi panas dan kering ini.
“Bagaimana pun, sekiranya keadaan masih berterusan dan tanaman terjejas, petani-petani ini dilindungi oleh insurans takaful berikutan situasi tidak dapat dielakkan itu,” katanya ketika ditemui selepas meninjau keadaan sawah kering di Kampung Guar Halban, Mata Ayer, di sini semalam.
Tinjauan di kawasan berkenaan turut melibatkan pesawah setempat bersama pegawai dari MADA dan Jabatan Pertanian negeri.
Megat Hashirat berkata, menerusi tinjauan dilakukan di kampung tersebut, beliau turut menerima laporan sekitar 130 hektar kawasan sawah terjejas di situ.
“Walaupun kita ada telaga ‘boring’ bersama sistem perparitan, tapi masih lagi tidak mencukupi untuk menampung keluasan tanah yang memerlukan bekalan air,” katanya.
Beliau berkata, terdapat beberapa cadangan agar dapat diwujudkan satu jawatankuasa bagi melihat isu-isu berkaitan sawah kering dan perkara itu akan diperhalusi selepas ini.
Katanya, kerajaan negeri juga akan meneruskan usaha membantu pesawah-pesawah di negeri ini yang terjejas dengan situasi kemarau tersebut.
“Kita tidak dapat jangka situasi kemarau ini akan berlarutan sehingga bila, namun kerajaan negeri akan terus membantu pesawah-pesawah terjejas,” katanya.-UTUSAN










