KANGAR: Wanita PKR sasar minimum 30 peratus pencalonan wanita dalam Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Setiausaha Wanita PKR, Sangetha Jayakumar berkata, sasaran itu antara hasil utama sempena Retreat Wanita Keadilan 2026 yang bertemakan Wanita Reformasi, Memimpin Madani.
Katanya, retreat itu yang menghimpunkan 70 pemimpin wanita dari seluruh Malaysia sebagai platform penyelarasan strategi nasional dan pembangunan kepimpinan
“Antara lain, pelancaran program #SUKMAWAJA sebagai inisiatif membina sokongan akar umbi dan memperkukuh hubungan dengan komuniti serta pelaksanaan kempen #SHEConnect yang bertujuan menghubungkan wanita merentas latar belakang dan membina lebih ramai pemimpin wanita secara berstruktur dan berterusan.
“Sebagai kesinambungan kepada pengukuhan institusi dan kesiapsiagaan politik, Wanita PKR juga mengumumkan bahawa Kongres Nasional Wanita Keadilan 2026 akan diadakan pada 26 hingga 27 Jun 2026 di Melaka.
“Ia sebagai medan utama untuk memuktamadkan hala tuju strategik, resolusi dasar dan penyelarasan gerak kerja nasional, dengan maklumat lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.
Katanya, Wanita PKR kekal komited untuk memimpin dengan nilai keterangkuman,
kepelbagaian dan kesaksamaan gender serta memastikan suara wanita di semua peringkat masyarakat agar terus menjadi teras dalam pembinaan Malaysia Madani yang adil, progresif dan berdaya tahan.-UTUSAN










