SAO PAOLO: Venezuela menutup sementara sempadannya dengan Brazil susulan serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas Caracas, yang turut membawa kepada penangkapan Presiden Nicolas Maduro serta isterinya, Cilia Flores.
Lintasan sempadan antara bandar Pacaraima di Brazil dan Santa Elena de Uairen di Venezuela ditutup selama kira-kira lima jam, sekali gus menghalang rakyat daripada memasuki Brazil, menurut seorang pegawai tentera Brazil kepada Al Jazeera.
“Tiada protokol rasmi daripada Venezuela berhubung kriteria keluar masuk. Hakikatnya, warga Brazil dibenarkan keluar, manakala warga Venezuela berdepan sekatan. Namun, keadaan ini boleh berubah pada bila-bila masa,” kata pegawai berkenaan yang enggan dikenali.
Ketua Polis Persekutuan Brazil turut mengumumkan penutupan sementara berkenaan, manakala gabenor negeri Roraima memberitahu Reuters, sempadan itu dibuka semula selepas penutupan singkat tersebut.
Kerajaan Brazil berkata, ia sedang memantau keadaan di sempadan dan menghantar anggota tentera ke kawasan berkenaan bagi memperkukuh keselamatan.
“Menteri Pertahanan memaklumkan tiada aktiviti luar biasa dikesan di sempadan antara Brazil dan Venezuela yang akan terus dipantau, dan beliau juga berhubung dengan Gabenor Roraima,” menurut kenyataan Kementerian Luar Brazil.
Rakyat Venezuela merupakan populasi asing terbesar di Brazil, menurut Institut Geografi dan Statistik Brazil. Negeri Roraima sahaja menempatkan seramai 77,563 pendatang dari negara itu.
Secara keseluruhan, kira-kira lapan juta rakyat Venezuela meninggalkan tanah air mereka sepanjang dekad lalu, dengan lebih enam juta menetap semula di negara Amerika Latin yang lain.
“Saya fikir sangat berkemungkinan akan berlaku penghijrahan besar-besaran rakyat Venezuela ke Brazil, dan sebenarnya kami sudah melihat tanda-tanda jelas mengenainya,” kata Jessica Leon Cedeno, seorang wartawan Venezuela yang menetap di Sao Paulo, kepada Al Jazeera.
“Berjuta-juta orang telah meninggalkan negara itu untuk mencari hidup dan peluang yang lebih baik,” katanya.










