AS serang Venezuela, tangkap Presiden Maduro

AS serang Venezuela, tangkap Presiden Maduro

GAMBAR memaparkan kebakaran di Fort Tiuna, kompleks tentera terbesar di Venezuela, selepas beberapa siri letupan di Caracas semalam.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CARACAS: Amerika Syarikat (AS) menyerang Venezuela dan menangkap Presiden Nicolas Maduro, yang dilaporkan dibawa keluar dari negara itu.

AS belum pernah campur tangan secara langsung di Amerika Latin sejak pencerobohan Panama pada 1989 untuk menggulingkan ketua tentera, Manuel Noriega.

“Amerika Syarikat berjaya melancarkan serangan besar-besaran terhadap Venezuela dan menangkap serta membawa keluar Presiden Nicolas Maduro bersama isterinya dari negara itu,” kata Trump dalam hantaran di Truth Social.

Tiada pengesahan daripada kerajaan Venezuela mengenai nasib Maduro, yang berkuasa sejak 2013.

Terdahulu, Venezuela menuduh Amerika Syarikat (AS) melakukan ‘pencerobohan ketenteraan yang sangat serius’, selepas beberapa letupan menggegarkan ibu negara Caracas dan beberapa kawasan lain pada awal pagi semalam.

“Venezuela menolak dan mengecam di hadapan masyarakat antarabangsa pencerobohan ketenteraan yang sangat serius dilakukan oleh kerajaan AS terhadap wilayah serta rakyat negara ini,” kata kerajaan Venezuela.

Menurut kenyataan kerajaan, serangan itu turut berlaku di negeri Miranda, Aragua dan La Guaira, yang mendorong Maduro mengisytiharkan darurat kebangsaan serta menggerakkan pasukan pertahanan.

Serangan itu menjadi serangan darat pertama yang diketahui di wilayah Venezuela.

Letupan turut dilaporkan di La Guaira, utara ibu negara, di mana terletaknya lapangan terbang dan pelabuhan Caracas.

AFP melaporkan letupan kuat disertai bunyi yang menyerupai pesawat terbang rendah, kedengaran di Caracas sekitar pukul 2 pagi waktu tempatan.

Presiden negara jiran Colombia, Gustavo Petro, menggesa mesyuarat tergempar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) susulan serangan tersebut.

“(Ini bagi) memberi amaran kepada seluruh dunia mereka kini telah menyerang Venezuela,” tulis pemimpin sayap kiri itu di platform media sosial X.

Sementara itu, kekeliruan turut menyelubungi seluruh penduduk Caracas ketika serangan bermula, dengan orang ramai bergegas ke tingkap kediaman untuk memahami kejadian yang sedang berlaku.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN