CARACAS: Sekurang‑kurangnya 80 tahanan politik Venezuela dibebaskan pada Ahad, di mana para tahanan sedang dilepaskan secara berperingkat di bawah tekanan daripada Amerika Syarikat (AS), menurut pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Foro Penal.
Pengarah kumpulan itu, Alfredo Romero berkata di X, NGO tersebut sedang mengesahkan identiti mereka yang dibebaskan di penjara seluruh negara, sambil menambah kemungkinan lebih ramai lagi akan dibebaskan.
Peguam Foro Penal, Gonzalo Himiob berkata, pembebasan itu berlaku pada awal pagi.
“Angka ini belum muktamad dan boleh meningkat semasa kami meneruskan proses pengesahan,” katanya, juga di X.
Kerajaan di bawah pemimpin sementara Venezuela, Delcy Rodriguez, yang mengambil alih selepas Nicolas Maduro ditangkap oleh pasukan khas AS awal bulan ini, berjanji untuk membebaskan sejumlah besar daripada ratusan penyokong Maduro yang berada di penjara.
Pihak berkuasa di Caracas mengatakan mereka membebaskan 626 tahanan sejak Disember, tetapi Foro Penal hanya merekodkan kira‑kira separuh daripada jumlah itu yang benar‑benar dibebaskan sepanjang tempoh tersebut.
Pihak pembangkang di Venezuela dan kumpulan hak asasi manusia mengkritik proses pembebasan yang perlahan itu.
Waris tahanan ‘berkampung’ di luar penjara menunggu pembebasan ahli keluarga mereka.- AFP










