ABU DHABI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengulangi komitmen untuk tidak membenarkan penggunaan ruang udara, wilayah atau perairan negaranya dalam sebarang tindakan ketenteraan musuh terhadap Iran, lapor Anadolu.
Dalam satu kenyataan rasmi, Kementerian Luar UAE menegaskan negara itu juga komited untuk tidak memberikan sebarang sokongan logistik bagi sebarang serangan yang disasarkan ke atas Teheran.
Kementerian itu berkata, UAE percaya dialog, pengurangan ketegangan, pematuhan kepada undang-undang antarabangsa serta penghormatan terhadap kedaulatan negara adalah asas paling berkesan untuk menangani krisis semasa.
Kenyataan itu turut menekankan pendekatan negara Teluk tersebut untuk menyelesaikan pertikaian melalui saluran diplomatik.
Ketegangan antara Washington dan Teheran melonjak sejak protes antikerajaan melanda beberapa bandar di Iran bulan lalu ekoran keadaan ekonomi yang semakin meruncing.
Laporan media Amerika Syarikat (AS) mendedahkan kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln bersama tiga kapal pemusnah pengiring tiba di Lautan Hindi pada Jumaat dalam perjalanan ke Teluk Oman, sebagai persediaan menghadapi kemungkinan serangan AS ke atas Iran.
Pada Sabtu, Presiden AS, Donald Trump mengesahkan laporan tersebut dengan menyatakan satu armada AS sedang menuju ke Asia Barat dan Washington kini sedang memantau rapi situasi di Iran.
Pentadbiran AS menegaskan semua pilihan, termasuk tindakan ketenteraan, kekal dipertimbangkan dalam menangani Tehran, memandangkan AS dan Israel kini sedang berusaha untuk mengubah sistem pemerintahan Iran.
Pegawai-pegawai Iran telah memberi amaran bahawa sebarang serangan oleh AS akan mengundang tindak balas pantas dan menyeluruh.
Terdahulu pada Jun lalu, Israel dengan sokongan AS telah melancarkan perang selama 12 hari terhadap Iran.
Serangan itu mencetuskan serangan balas dron dan peluru berpandu daripada Tehran sebelum Washington mengumumkan gencatan senjata.









