Tiada kuasa asing tadbir Venezuela - Rodriguez

Tiada kuasa asing tadbir Venezuela – Rodriguez

RAKYAT Venezuela menghadiri perhimpunan solidariti terhadap pemimpin yang digulingkan, Nicolas Maduro, dan isterinya, Cilia Flores di Caracas, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CARACAS: Pemimpin sementara Venezuela, Delcy Rodriguez menegaskan tiada kuasa asing yang mentadbir negaranya, walaupun Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan Caracas akan segera menyerahkan berjuta-juta tong minyak kepada Washington.

Rodriguez, merupakan naib presiden di bawah kerajaan Nicolas Maduro, sering memberi isyarat yang tidak konsisten mengenai kesediaannya bekerjasama dengan Trump, yang kadangkala kedengaran berkompromi dan menentang.

“Kerajaan Venezuela bertanggungjawab di negara ini, tiada orang lain. Tiada pengaruh asing yang mentadbir Venezuela,” katanya.

Trump sebelum ini menegaskan Washington kini ‘bertanggungjawab’ ke atas negara Caribbean itu, tetapi beliau bersedia untuk bekerjasama dengan Rodriguez, dengan syarat pemimpin tersebut akur kepada tuntutan AS untuk akses kepada rizab minyak Venezuela.

Presiden AS itu secara terbuka mendedahkan niatnya berkaitan rizab minyak Venezuela, dan mengumumkan Rodriguez akan menyerahkan 30 hingga 50 juta tong minyak berkualiti tinggi kepada Washington.

TIDAK AKAN MENGALAH

Rodriguez menawarkan sesuatu yang positif, tetapi juga kelihatan gusar untuk mengekalkan sokongan golongan tegar yang mengawal pasukan keselamatan dan separa tentera.

“Kami adalah bangsa yang tidak menyerah, bangsa yang tidak akan mengalah,” katanya sambil memberi penghormatan kepada mangsa terbunuh dalam serangan AS.

Beliau berkata, negara itu sedang melaksanakan tempoh berkabung selama tujuh hari, sebagai mangsa korban serangan Washington minggu lalu.

Tentera Venezuela menerbitkan senarai 23 tentera, termasuk lima jeneral, yang terkorban dalam serangan tersebut.

Sekutu terdekat, Havana, pula secara berasingan mengeluarkan senarai 32 tentera Cuba yang terbunuh, ramai di antaranya merupakan anggota peronda keselamatan Maduro.

Venezuela masih belum mengesahkan jumlah korban awam dalam operasi, yang membawa penangkapan Maduro dan isterinya, Cilia Flores, untuk dibicarakan di AS.

Ribuan penyokong pasangan presiden itu, termasuk Menteri Dalam Negeri, Diosdado Cabello, turun ke jalanan di Caracas bagi menuntut pembebasan mereka.

Kebimbangan terhadap penindasan negara menyebabkan ramai pengkritik Maduro yang tidak popular enggan meraikan kejatuhannya.

Kedua-dua mereka hadir di mahkamah di New York pada Isnin, serta mengaku tidak bersalah atas kesalahan pengedaran dadah dan tuduhan lain.

Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, meminta AS untuk memastikan pasangan tersebut menerima perbicaraan yang adil.

CABARAN PRESIDEN INTERIM

Rodriguez berusaha menunjukkan perpaduan dengan Cabello dan Menteri Pertahanan, Vladimir Padrino Lopez, dua tokoh berhaluan keras yang dilihat sebagai pemegang kuasa utama dalam pentadbiran Maduro.

Pemimpin pembangkang, Marina Corina Machado, yang disisihkan Washington dalam peralihan kuasa selepas Maduro, memberi amaran mengenai Rodriguez, yang didakwanya tidak boleh dipercayai.

“Delcy Rodriguez, seperti yang diketahui, seorang arkitek utama penyeksaan, penganiayaan, rasuah dan penyeludupan dadah.

“Beliau adalah sekutu serta penghubung utama dengan Russia, China dan Iran, yang pastinya bukan individu boleh dipercayai oleh pelabur antarabangsa,” katanya dalam temu bual di Fox News.

Sebagai tanda pasukan keselamatan masih menindas, 16 wartawan dan pekerja media ditahan di Venezuela pada Isnin, menurut kesatuan wartawan.

Trump sebelum ini memberi amaran Rodríguez akan ‘membayar harga yang sangat besar’, mungkin melebihi nasib Maduro jika beliau tidak mematuhi agenda Washington.

Seorang jeneral bersara yang pernah memegang jawatan tinggi dalam tentera meramalkan, Rodríguez mungkin akan membuka Venezuela kepada syarikat minyak dan perlombongan AS serta menyambung semula hubungan diplomatik, yang pernah diputuskan oleh Maduro pada 2019.

Beliau juga percaya Rodríguez akan berusaha untuk mengurangkan kritikan terhadap rekod hak asasi manusia Venezuela yang buruk dengan membebaskan tahanan politik.

Trump memberitahu penggubal undang-undang Republikan pada Selasa, kononnya Maduro adalah seorang ‘lelaki ganas’ yang membunuh berjuta‑juta orang dan mendakwa pentadbiran Rodríguez sedang menutup bilik penyeksaan di Caracas.

Perlembagaan menyatakan setelah Maduro secara rasmi diisytiharkan tidak hadir, yang boleh berlaku selepas enam bulan, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 30 hari.

Machado memberitahu Fox News, beliau yakin pembangkang, yang secara meluas dilihat sebagai pemenang sebenar dalam pilihan raya 2024, akan memenangi lebih 90 peratus undi.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN