WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sekali lagi menggunakan kuasa ekonomi untuk mengancam mana-mana negara yang tidak sehaluan dengannya.
Dalam mesyuarat di Rumah Putih kelmarin, Trump mengugut mengenakan tarif ke atas negara-negara yang tidak bersetuju dengan hasrat AS untuk menguasai Greenland, wilayah pemerintahan sendiri yang dikawal oleh Denmark.
Selepas minggu yang tegang di mana sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menempatkan tentera di wilayah itu, Trump mengumumkan rancangannya untuk ‘menghukum’ negara yang tidak menyokong pengambilalihan Greenland, termasuk menggunakan kekerasan jika perlu.
Beliau tidak menyatakan negara mana yang mungkin dikenakan tarif baharu, atau kuasa apa yang akan digunakan untuk mengenakan cukai import itu bagi mencapai matlamatnya.
Sebelum ini, utusan khas Trump ke Greenland, Jeff Landry berkata, perjanjian untuk Washington mengambil alih pulau itu sepatutnya dibuat ketika delegasi Kongres AS melawat Copenhagen bagi menunjukkan sokongan kepada Denmark dan Greenland.
Katanya, beliau merancang untuk melawat Greenland pada Mac dan menegaskan Presiden AS ‘bersungguh-sungguh’ mengenai perolehan pulau Artik itu.
Ini merupakan kali kedua dalam minggu ini Trump menggunakan ancaman tarif, selepas beliau mengumumkan cukai 25 peratus ke atas negara-negara yang berdagang dengan Iran, berikutan protes keganasan di Teheran.
Dalam ucapan tanpa henti selama 45 minit di sebuah acara di Bilik Timur Rumah Putih pada Jumaat, Trump mengumumkan rancangannya untuk menetapkan tarif tambahan kepada negara yang tidak menyokong usahanya mendapatkan Greenland.
Beliau merujuk kepada ancaman yang dibuat terhadap sekutu Eropah berhubung harga ubat, dengan memberi amaran kepada Perancis dan Jerman mengenai cukai 25 peratus jika mereka tidak membayar lebih untuk ubat preskripsi.
Trump menegaskan, beliau mungkin mengambil pendekatan yang sama terhadap Denmark dan juga kepada Greenland.
Greenland mempunyai penduduk yang sedikit tetapi kaya dengan sumber, dan lokasinya di antara Amerika Utara dan Artik menjadikan ia sesuai untuk sistem amaran awal sekiranya serangan peluru berpandu serta pemantauan kapal di rantau itu.- AGENSI










