CARACAS: Sumber Agensi Perisikan Pusat (CIA) dalam kerajaan Venezuela dilaporkan memantau lokasi Presiden Nicolas Maduro sebelum beliau ditangkap oleh pasukan Operasi Khas Amerika Syarikat (AS) dalam siri pengeboman ke atas Caracas semalam.
Beberapa individu yang dimaklumkan mengenai operasi tersebut mendakwa, agensi perisikan AS itu menyediakan maklumat risikan yang membawa kepada penahanan Maduro dengan menjejak kedudukan serta pergerakannya menggunakan armada dron halimunan, membolehkan pemantauan hampir berterusan di seluruh Venezuela, selain maklumat diperoleh daripada rangkaian sumber tempatan.
Bagaimanapun, masih tidak jelas bagaimana CIA merekrut sumber Venezuela yang menyalurkan maklumat mengenai lokasi Maduro kepada pihak AS.
Bekas pegawai mendakwa, agensi itu jelas dibantu oleh ganjaran AS$50 juta (RM202 juta) yang ditawarkan kerajaan AS untuk maklumat membawa kepada penahanan Presiden Venezuela itu.
Dalam sesi pengesahan jawatan pada 2024, Pengarah CIA, John Ratcliffe, berjanji akan memimpin agensi yang lebih agresif, sanggup melaksanakan operasi rahsia untuk mengumpul maklumat dan memajukan dasar AS.
Presiden AS, Donald Trump, memberi kuasa kepada CIA untuk bertindak lebih agresif pada musim luruh lalu, dan kemudian pada November meluluskan rancangan serta persiapan bagi beberapa siri operasi di Venezuela.
Pada akhir Disember, CIA menggunakan dron bersenjata untuk melancarkan serangan ke atas sebuah jeti yang dipercayai pegawai AS digunakan oleh kumpulan samseng Venezuela bagi memuatkan dadah ke atas bot.
Seorang individu yang dimaklumkan mengenai penahanan Maduro berkata, operasi itu adalah hasil kerjasama erat antara agensi perisikan dan pihak tentera, serta melibatkan perancangan teliti selama berbulan-bulan.
Seorang pegawai kanan AS pula berkata, CIA dan penganalisis Operasi Khas ‘mengunci’ lokasi Maduro, merujuk kepada penentuan kedudukan yang tepat, sejak peringkat awal perancangan operasi tersebut.
Walaupun CIA memainkan peranan penting dalam perancangan dan pelaksanaan operasi itu, misi berkenaan merupakan operasi penguatkuasaan undang-undang yang dijalankan opasukan Operasi Khas tentera AS, dan bukannya dilaksanakan di bawah kuasa agensi perisikan tersebut.- NYTimes










