Shuib, pengarah syarikat vape didenda RM10,000

Shuib, pengarah syarikat vape didenda RM10,000

SHUIB didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Putrajaya atas pertuduhan mempromosikan produk merokok melalui sebuah audio siar di platform YouTube, dua tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelawak dan usahawan, Shuib didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan mempromosikan produk merokok melalui sebuah audio siar di platform YouTube, dua tahun lalu.

Selain Shuib, Pengarah Syarikat Bangsawan Distribution, Mohd. Redzuan Hamizan Rahim turut didenda RM10,000 atas pertuduhan menaja promosi berkaitan produk merokok.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 42, serta Mohd. Redzuan, 34, selaku orang kena saman (OKS) mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Ezrene Zakariah.

Kedua-dua mereka membayar denda tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, Shuib didakwa telah mempromosikan produk merokok menerusi audio siar terbitannya berjudul Dol’s Podcast.

Sementara itu, Mohd. Redzuan pula didakwa menaja audio siar berkenaan yang dimuat naik di YouTube dan disiarkan kepada orang awam pada pukul 4.26 petang, 22 Oktober 2024.

Kedua-dua perbuatan itu melanggar Seksyen 9 (1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) kerana mengambil bahagian dalam apa-apa perkiraan yang mempromosikan produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 9 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan, Kua Ah Kiong manakala peguam Sa’eed Khaliq dan Ahmad I’zzudin Ahmad Nadzri mewakili Shuib dan Mohd. Redzuan.

Ahmad I’zzudin berhujah bahawa perjanjian bagi mempromosikan produk vape dalam audio siar berkenaan dibuat sebelum Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dimeterai.

Peguam itu turut memohon mahkamah mengurangkan jumlah denda dengan alasan kedua-dua OKS mematuhi undang-undang dan wajar dikenakan hukuman denda minimum.

“Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada 22 Oktober 2024, sedangkan akta itu masih baharu ketika itu. Malah, KKM sendiri telah mengeluarkan hebahan bahawa pelaksanaan akta tersebut hanya akan bermula pada 10 April 2025.

“Kami berpandangan anak guam kami telah mengambil langkah terbaik untuk mematuhi undang-undang. Audio siar tersebut juga telah dipadam dan kini tidak lagi boleh diakses,” katanya.

Bagaimanapun, Ah Kiong memohon jumlah denda dikekalkan dengan alasan OKS merupakan seorang selebriti dan perbuatannya mempromosikan produk berkenaan berpotensi menjadi ikutan golongan muda.

“Dalam konteks ini, sebarang kelakuan atau tindakan OKS mempunyai pengaruh besar terhadap masyarakat, khususnya peminat yang menjadikannya sebagai idola.

“Perbuatan mempromosikan produk vape juga boleh memberi kesan negatif yang meluas serta mencetuskan salah faham dalam kalangan orang awam,” katanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan denda RM10,000 terhadap setiap OKS dan hukuman penjara selama satu tahun, sekiranya gagal membayar denda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN