KUANTAN: Setiap parti politik, sama ada berada dalam kerajaan atau pembangkang, mempunyai hak untuk memilih rakan strategik masing-masing.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr. Fuziah Salleh menegaskan bahawa pendirian PKR adalah untuk memperkukuhkan hubungan antara parti dalam kerajaan perpaduan dan madani.
“Setiap parti politik bebas untuk (memilih) apa orang kata rakan strategik mereka, ada yang memilih yang sehaluan dan ada yang memilih yang berbeza pemikiran, masing-masing ada alasan dan sebab tertentu.
“Bagi yang memilih (rakan strategik) berbeza (pemikiran), mungkin untuk meluaskan capaian mereka.
Apa pun, kami di kerajaan Madani akan memperkukuhkan hubungan antara (parti) dalam kerajaan perpaduan dan madani,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Program Jualan Rahmah Kembali Ke Sekolah 2026 di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas tentang resolusi dibuat pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO semalam yang menggesa parti itu membentuk penyatuan dengan Pas yang berpaksikan kepada komitmen menjaga dan melindungi agama serta bangsa.
Ketika ditanya cabaran terhadap kestabilan kerajaan perpaduan jika UMNO mengambil keputusan bekerjasama dengan Pas, Fuziah berkata, ia bergantung kepada pemahaman dan penilaian pihak berkenaan. – UTUSAN








