PASIR PUTEH: Persatuan Cinta Seni Budaya (Persidaya) meluahkan kebimbangan beberapa seni warisan negeri ini perlukan pembelaan daripada Kerajaan Kelantan bagi menggelakan ia pupus ditelan zaman selain ketiadaan pewaris.
Penaungnya Mohd. Sulhi Yusof berkata, sokongan segera itu amat diperlukan bagi menyelamatkan khazanah rakyat Kelantan seperti main petri, tari inai, dikir laba, rebana mangkuk, kertuk kelapa dan gendang Siam lenyap.
“Kami (Persidaya) sedia membantu kerajaan negeri atau mana-mana pihak yang berminat menyuburkan seni warisan itu supaya ia terus kekal relevan dalam arus dunia moden hari ini.
“Malam ini kami adunkan semua seni tradisional Kelantan yang hampir pupus diatas satu panggung (pentas) melalui persembahan teater dengan jadikan Main Petri sebagai asas penceritaan utama,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Pementasan Teater Tradisional Semalam Mencari Cik Siti Wan Kembang yang dianjurkan oleh Yayasan Hasanah dari Kuala Lumpur di Kampung Alor Hijau, Selising di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Mohd. Sulhi memberitahu, kesemua seni tradisional ini semakin terpinggir berikutan ketiadaan pewaris.
Katanya, fokus utama pementasan itu untuk mengangkat kembali seni budaya supaya ia dikenali oleh generasi muda hari ini selain mengimbau nostalgia generasi terdahulu.
“Hasrat utama kami mahu mempupuk kesedaran bahawa seni tradisional masih mempunyai pewaris, namun memerlukan usaha berterusan untuk dilestarikan. Jika tidak, seni ini akan luput ditelan zaman,” ujarnya.
Mengulas mengenai Main Petri yang dijadikan sebagai tonggak persembahan, Mohd. Sulhi berkata, persembahan itu tidak melibatkan sebarang unsur-unsur yang bercanggah dengan agama Islam.
Katanya, Main Petri hanya dijadikan sebagai medium penceritaan semata-mata sekali gus mengangkat seni itu.-UTUSAN










