Pemandu van Thailand guna 'alasan masuk' sekejap elak ICP

Pemandu van Thailand guna ‘alasan masuk’ sekejap elak ICP

MOHD. Misuari Abdullah (depan) memeriksa van persendirian dari Thailand semasa Op Khas Tunggak dan Teknikal di Stesen Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan Bukit Bunga, Tanah Merah, Kelantan. - UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Menggunakan alasan hanya ‘masuk sekejap’ dikenal pasti menjadi helah utama pemandu van persendirian dari Thailand bagi mengelak keperluan Permit Edaran Antarabangsa (ICP) semasa membawa masuk pelancong ke negara ini melalui pintu sempadan Kelantan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd. Misuari Abdullah berkata, pemandu kenderaan asing terbabit mendakwa pergerakan mereka hanya dalam lingkungan dua kilometer dari pintu sempadan dan kononnya tidak memerlukan ICP.

Katanya, siasatan mendapati alasan tersebut digunakan bagi mengelak rekod kemasukan dalam sistem pihak berkuasa tempatan, selain menyalahgunakan kelonggaran pergerakan di kawasan sempadan.

“Alasan ‘masuk sekejap’ ini sering digunakan walaupun pergerakan sebenar kenderaan terbabit didapati melebihi jarak dibenarkan.

“Ada juga pemandu yang mendakwa tidak mengetahui keperluan memiliki ICP walaupun kenderaan digunakan bagi membawa pelancong masuk ke negara ini,” katanya selepas Op Khas Tunggak dan Teknikal di Stesen Penguatkuasa JPJ Bukit Bunga, di sini, malam tadi.

Mohd. Misuari percaya tindakan berkenaan bertujuan mengelak pengesanan dan pemeriksaan lanjut oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, beliau berkata, sepanjang Op Khas Tunggak yang dijalankan dari 16 hingga 23 Januari lalu, sebanyak 67 kenderaan diperiksa dengan 42 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN