PARIS: Beberapa negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengerahkan sejumlah tentera ke Greenland untuk menyertai latihan bersama dengan pasukan Denmark, ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump meningkatkan ancamannya untuk merampas pulau Artik itu.
Rancangan Trump menyebabkan pakatan keselamatan Eropah yang dipimpin AS selama beberapa dekad mengalami krisis, meningkatkan kemungkinan anggota terbesar dan paling berkuasa NATO menguasai wilayah negara lain.
Denmark, yang bertanggungjawab terhadap pertahanan Greenland, memberi amaran sebarang serangan ke atas pulau itu akan menamatkan NATO, selain mengumumkan langkah memperluas kehadiran ketenteraan dalam kerjasama rapat dengan sekutunya.
Jerman, Sweden, Perancis dan Norway mengesahkan menghantar tentera ke Greenland minggu ini untuk latihan bersama dengan tentera Denmark.
Kanada dan Perancis juga berkata, mereka merancang untuk membuka konsulat di ibu negara Greenland, Nuuk, dalam beberapa minggu akan datang.
Bagi NATO, menghantar tentera untuk latihan di negara anggota lain bukanlah perkara luar biasa, dan terdapat usaha selama bertahun-tahun oleh sekutu, termasuk AS, untuk meningkatkan latihan bersama di Bulatan Artik.
AS mempunyai kira-kira 150 tentera yang ditempatkan di Pangkalan Angkasa Pituffik di barat laut Greenland.
Namun, pengumuman terbaharu negara Eropah itu menunjukkan solidariti yang ketara di tengah ketegangan yang belum pernah berlaku dalam NATO.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, Kementerian Pertahanan Jerman berkata, ia akan menghantar pasukan peninjau yang terdiri daripada 13 anggota tentera ke Greenland pada Khamis, untuk misi penerokaan bersama rakan negara lain, atas jemputan Denmark.
Sweden juga menghantar sejumlah anggota tentera yang tidak dinyatakan ke Greenland pada Rabu atas permintaan Denmark, kata Perdana Menteri, Ulf Kristersson di X.
Pasukan tentera Sweden menjadi sebahagian daripada pasukan gabungan dari negara bersekutu lain yang bersedia untuk latihan Operasi Ketahanan Artik.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron turut mengesahkan unit tenteranya mengambil bahagian dalam operasi tersebut, termasuk Norway yang juga menghantar dua anggota pertahanan ke Greenland.- CNN










