Russia bom Kyiv selepas tolak cadangan pasca perang

Russia bom Kyiv selepas tolak cadangan pasca perang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Russia melancarkan serangan besar-besaran ke atas ibu negara Ukraine, menyebabkan bangunan pangsapuri terbakar dan sekurang-kurangnya empat orang terbunuh pada Jumaat, selepas Moscow menolak cadangan terbaharu pasca perang.

Ukraine dan sekutunya di Barat, yang semakin mendesak menamatkan konflik hampir empat tahun, bersetuju minggu ini untuk Eropah mengerahkan pasukan tenteranya selepas gencatan senjata dicapai.

Namun, Moscow, yang mendakwa pencerobohan pada Februari 2022 sebahagiannya bertujuan menyekat peluasan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), tetap menolak kehadiran mana-mana pasukan Barat di Ukraine.

Jurucakap Kementerian Luar Russia, Maria Zakharova, memberi amaran pada Khamis pasukan sedemikian ‘akan dianggap sasaran ketenteraan yang sah’, sambil menuduh Ukraine serta sekutu Amerika dan Eropah sebagai ‘paksi perang’.

Ketika usaha diplomatik masih buntu bagi mencari titik temu dalam konflik paling berdarah di Eropah sejak Perang Dunia Kedua, Russia terus menggandakan tekanan dengan melancarkan serangan hampir setiap hari ke atas Ukraine.

Di Kyiv, serangan dron di seluruh bandar meragut empat nyawa dan mencederakan sekurang-kurangnya 24 orang, termasuk anggota penyelamat kecemasan, menurut polis.

Di sebuah pangsapuri di tebing kiri bandar itu, seorang petugas perubatan maut ketika memberi rawatan susulan serangan pertama, sebelum lokasi sama diserang sekali lagi.

Beberapa kawasan turut bergelap yang digambarkan Datuk Bandar, Vitali Klitschko sebagai serangan peluru berpandu musuh secara besar-besaran.

Di seberang sempadan, di wilayah Belgorod, Russia, gabenor menyatakan lebih 500,000 penduduk terputus bekalan elektrik dan pemanas selepas serangan Ukraine menyasarkan kemudahan utiliti.

Hampir 200,000 penduduk turut berdepan gangguan bekalan air, tambah Vyacheslav Gladkov.

Tentera Ukraine mengeluarkan amaran peluru berpandu di seluruh negara awal hari ini, selepas mengesahkan pesawat pengebom Russia berada di udara.

Di bandar Lviv di barat Ukraine, Tentera Udara melaporkan sebuah peluru berpandu balistik berkelajuan hipersonik mengenai kemudahan infrastruktur sejurus sebelum tengah malam.

Peluru berpandu itu dipercayai meluncur pada kelajuan sekitar 13,000 kilometer sejam.

Datuk Bandar Lviv, Andriy Sadovy berkata, pihak tentera akan menentukan sama ada peluru berpandu Oreshnik, yang berupaya membawa kepala peledak nuklear, digunakan dalam serangan berhampiran sempadan Poland.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN