Ribut musim sejuk ragut 10 nyawa di AS

Ribut musim sejuk ragut 10 nyawa di AS

SEORANG lelaki cuba mengeluarkan basikal yang tersekat dalam salji tebal di stesen Capitol Bikeshare berhampiran Monumen Washington.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Ribut musim sejuk luar biasa yang melanda sebahagian besar Amerika Syarikat (AS) meragut sekurang-kurangnya 10 nyawa, menyebabkan pembatalan besar-besaran penerbangan serta gangguan bekalan elektrik.

Ketika ribut membawa salji, hujan ais dan hujan beku merentasi kawasan luas, pegawai memberi amaran jisim udara Artik akan menyebabkan suhu terus menjunam sehingga -45 darjah Celsius selama beberapa hari lagi, sekali gus memanjangkan gangguan perjalanan dan kehidupan harian.

Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani berkata, lima individu ditemui meninggal dunia di luar rumah sepanjang hujung minggu dalam suhu beku.

Di Texas, pihak berkuasa mengesahkan tiga kematian, termasuk seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang maut dalam kemalangan ketika bermain luncur salji.

Dua lagi kematian akibat hipotermia dilaporkan di Louisiana, menurut jabatan kesihatan negeri selatan itu.

Laman penjejakan PowerOutage.com menunjukkan lebih 840,000 pengguna terputus bekalan elektrik, kebanyakannya di selatan AS, di mana ribut semakin kuat sejak Sabtu.

Di Tennessee, lebih 300,000 kediaman dan pusat komersial bergelap selepas lapisan ais menumbangkan talian elektrik.

Louisiana, Mississippi dan Georgia negeri yang jarang mengalami ribut sedemikian masing-masing mencatatkan lebih 100,000 gangguan bekalan.

Sekurang-kurangnya 20 negeri serta ibu negara Washington mengisytiharkan darurat.-AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN