NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 10 maut manakala lebih 200 dimasukkan ke hospital di bandar Indore, tengah India, susulan wabak cirit-birit yang menurut pihak berkuasa berkaitan dengan air minuman tercemar.
Ahli perundangan, Kailash Vijayvargiya, mengesahkan sembilan kematian berlaku.
Pegawai perubatan utama Indore, Madhav Prasad Hasani, memberitahu Reuters melalui telefon, air minuman di kawasan Bhagirathpur tercemar akibat kebocoran, dan ujian air mengesahkan kehadiran bakteria dalam paip bekalan.
“Saya tidak dapat mengulas mengenai jumlah kematian, tetapi ya, lebih 200 orang dari kawasan yang sama sedang menerima rawatan di beberapa hospital di bandar ini.
“Laporan akhir bagi sampel air yang diambil dari kawasan terjejas masih dinantikan,” kata Hasani.
Pegawai pentadbiran daerah, Shravan Verma berkata, pihak berkuasa mengerahkan pasukan doktor untuk menjalankan saringan dari rumah ke rumah dan sedang mengagihkan tablet klorin bagi membantu menapis air.
“Kami menemukan satu titik kebocoran yang mungkin mencemarkan air dan ia telah diperbaiki,” kata Verma, sambil menambah pihak berkuasa memeriksa 8,571 orang dan mengenal pasti 338 individu dengan simptom ringan.
Indore, di negeri Madhya Pradesh, dinamakan sebagai bandar paling bersih di India dan menduduki tangga teratas dalam penarafan kebersihan negara itu selama lapan tahun berturut-turut.










