SEREMBAN: Dendam terhadap bekas teman wanitanya yang meninggalkannya kira-kira lima tahun lalu punca suspek menghasilkan bahan letupan buatan sendiri (IED).
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 62 tahun itu bertindak demikian kerana tidak dapat menerima hakikat ditinggalkan wanita berkenaan.
Menurutnya, bekas teman wanita suspek yang berusia 49 tahun itu dipercayai meninggalkannya kerana lelaki itu mempunyai sikap panas baran.
“Siasatan setakat ini mendapati suspek menyimpan perasaan marah dan dendam terhadap bekas teman wanitanya selepas hubungan mereka berakhir lima tahun lalu.
“Suspek dipercayai bertindak menghasilkan bahan berbahaya tersebut atas faktor emosi dan dendam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya, suspek sering bercerita kepada seorang saksi mengenai kekecewaan nya terhadap bekas teman wanitanya.
“Soal siasat masih diteruskan namun agak terhad memandangkan keadaan kesihatan suspek yang tidak mengizinkan dan masih dirawat,” katanya.
Dalam kejadian pada 22 Disember lalu, satu letupan berlaku di Pangsapuri Desa Palma, Nilai sebelum polis menemukan puluhan alat letupan buatan sendiri (IED) di sebuah rumah kedai berhampiran lokasi kejadian.
Suspek yang diklasifikasikan sebagai penjenayah berbahaya berjaya ditahan di Batang Benar dan mengalami kecederaan melecur di beberapa bahagian badan dipercayai akibat kejadian letupan tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Bahan Kakisan Letupan Senjata Berjadual dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










