Rakyat Venezuela masih keliru pencerobohan AS ke atas Caracas

Rakyat Venezuela masih keliru pencerobohan AS ke atas Caracas

PENYOKONG Presiden Nicolas Maduro memegang plakad yang bertulis 'Trump menculik mereka' ketika berhimpun di Caracas selepas pasukan AS menangkap pemimpin itu, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CARACAS: Rakyat Venezuela masih keliru dengan pencerobohan mengejut Amerika Syarikat (AS) ke atas ibu negara, yang membawa kepada penangkapan Presiden Nicolas Maduro.

Mereka kini mempersoalkan status pemerintahan negara selepas pasukan Operasi Khas AS menyingkirkan pemimpin berpengaruh itu, selepas beberapa kali berjaya bertahan dalam cubaan rampasan kuasa, pemberontakan tentera dan protes besar-besaran.

Kelmarin, Presiden Donald Trump mendakwa AS akan ‘mentadbir’ Venezuela dan memanfaatkan rizab minyaknya selepas Washington berjaya melaksanakan misi pengeboman ke atas Caracas.

Walaupun ratusan penyokong Maduro berkumpul menuntut pembebasannya, namun kebanyakan jalan di Caracas sunyi dan hampir kosong.

“Apa yang akan berlaku esok? Dan apa yang akan berlaku dalam satu jam lagi,” soal seorang penduduk di Caracas, Juan Pablo Petrone.

Trump tidak memperincikan maksud kenyataannya, namun memberitahu sidang media di Florida, AS akan mengendalikannya bersama satu kumpulan.

Beliau mendakwa, AS akan mengambil alih kawalan ke atas Venezuela dan bekemungkinan melaksanakan penyelarasan bersama pegawai kanan yang paling dipercayai Maduro.

Delcy Rodríguez, yang berada seterusnya dalam susunan penggantian presiden, berkhidmat sebagai naib presiden sejak 2018, mengawasi sebahagian besar ekonomi Venezuela yang bergantung kepada minyak serta perkhidmatan risikan.

Mahkamah Agung Venezuela mengarahkan Rodríguez mengambil alih kuasa dan tugas sebagai pemangku presiden.

“Beliau pada dasarnya sanggup melakukan apa yang kami anggap perlu untuk menjadikan Venezuela hebat semula,” kata Trump kepada pemberita mengenai Rodríguez.

Pada masa sama, pemimpin pembangkang, Maria Corina Machado menyeru agar seorang calon pembangkang mengambil alih kuasa.

Bagaimanapun, Trump berkata, pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu tidak mempunyai sokongan yang mencukupi untuk mentadbir negara tersebut.

PENDUDUK KETAKUTAN

Dalam usaha meredakan kebimbangan orang ramai, pegawai tentera Venezuela mengambil nada tegas dalam mesej video, mengecam Trump dan berikrar untuk menentang tekanan Washington.

“Mereka menyerang kami, tetapi ia tidak akan mematahkan kami,” kata Menteri Pertahanan, Jeneral Vladimir Padrino López, yang tampil berpakaian seragam tentera.

Menteri Dalam Negeri, Diosdado Cabello, antara tokoh utama yang menguatkuasakan kuasa di bawah kepimpinan Maduro, menyeru rakyat Venezuela supaya ‘turun ke jalanan’ bagi mempertahankan kedaulatan negara.

“Tikus-tikus ini menyerang dan mereka akan menyesali perbuatan mereka,” katanya merujuk kepada AS.

Sebahagian rakyat Venezuela menyahut seruan itu dengan berhimpun menyokong kerajaan serta membakar bendera Amerika dalam beberapa perhimpunan kecil di sekitar Caracas pada Sabtu.

Namun, kebanyakan penduduk memilih untuk kekal di dalam rumah kerana ketakutan.

“Apa yang berlaku ini tidak pernah terjadi sebelum ini. Kami masih dalam keadaan cemas, dan kini tidak pasti apa yang perlu dilakukan,” kata seorang lagi penduduk Caracas, Yanire Lucas.

PENDEKATAN IMPERIALISME

Tindakan Trump mencabuli undang-undang antarabangsa bukan sesuatu yang asing, kerana pentadbiran AS sebelum ini juga pernah melonggarkan norma global melalui pencerobohan Panama pada 1990 dan perang Iraq atas alasan yang dipersoalkan.

Namun, Trump dilihat lebih terbuka menolak sistem berasaskan peraturan, dengan pendekatan mirip imperialisme abad ke-19 tetapi menggunakan senjata abad ke-21.

Perkembangan di Venezuela turut menimbulkan kebimbangan di negara lain, termasuk Iran dan Denmark, yang pernah menjadi sasaran kritikan dan amaran Trump untuk tindakan radikal.

Kebimbangan utama dari segi kestabilan global ialah hakikat operasi itu tetap dilaksanakan negara yang diiktiraf sebagai polis dunia walaupun atas tujuan yang kabur.

Sejak mengambil alih jawatan hampir setahun lalu, Trump dilihat semakin berani menggunakan kuasa ketenteraan untuk menguatkuasakan kepentingan AS.

Pada Sabtu, Trump memuji operasi itu sebagai cemerlang dan menyifatkan keberkesanan tentera AS sebagai contoh kejayaan strategi ketenteraannya, malah menyatakan tidak gentar untuk mengerahkan tentera darat ke Venezuela demi kepentingan AS.

Serangan ke atas Venezuela turut menunjukkan minat Trump terhadap tanah, minyak, dan sumber semula jadi negara lain kini lebih kuat mengatasi hasratnya memenangi anugerah keamanan.

Pentadbiran Trump cuba mempertahankan operasi itu dari segi undang-undang, dengan mendakwa Maduro dibawa ke muka pengadilan atas tuduhan rasuah, pengedaran dadah, dan kesalahan lain.

Namun, majoriti pakar undang-undang antarabangsa melihat dakwaan tersebut sebagai lemah dan tidak mencukupi untuk menghalalkan serangan ketenteraan atau penculikannya.

Trump jelas lebih mementingkan penguasaan minyak Venezuela daripada membawa Maduro ke mahkamah atau memulihkan demokrasi di negara itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN