Rakyat Kelantan teruja mohon lesen mendulang emas

Rakyat Kelantan teruja mohon lesen mendulang emas

AHMAD Fauzan Mohd. Zain menunjukkan borang permohonan untuk mendapatkan lesen mendulang emas di PTG negeri di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Rakyat negeri Kelantan mula memohon lesen mendulang emas selaras dengan pengumuman kerajaan negeri berhubung pelaksanaan aktiviti itu secara sah.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata penduduk dari Kota Bharu, Jeli, Tumpat serta Tanah Merah dilihat hadir ke kaunter Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri di Kompleks Kota Darulnaim untuk membuat permohonan berkenaan.

Seorang penduduk, Ahmad Fauzan Mohd. Zain, 48, berkata, pemberian lesen itu membuka ruang kepadanya dan seluruh rakyat negeri ini untuk melakukan aktiviti tersebut secara nyata.

Katanya, selepas kerajaan mengumumkan cadangan untuk membuka lesen mendulang, kawasan yang mempunyai sumber mineral itu di Jeli menjadi tumpuan penduduk dari seluruh negeri ini.

“Saya harap kerajaan dapat mewartakan segera lokasi yang dibenarkan untuk mendulang,” katanya ketika ditemui hari ini.

Dia juga berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semua kadar bayaran yang dikenakan ke atas setiap permohonan dibuat rakyat negeri ini.

Katanya, nilai tersebut disifatkan cukup besar apabila pemohon perlu membayar RM200 yang meliputi RM100 untuk permohonan dan RM100 apabila ia lulus nanti.

“Saya percaya aktiviti mendulang emas boleh dijadikan tarikan pelancongan baharu jika kadar bayaran dapat dikurangkan. Pada masa sama ia mampu memberi manfaat ekonomi kepada penduduk pedalaman.” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN