Raja Perlis berkenan masyhur dua entiti utama USM - Utusan Malaysia

Raja Perlis berkenan masyhur dua entiti utama USM

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail (kanan) berkenan memasyhurkan dua entiti utama USM dalam majlis yang berlangsung di Istana Arau, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan memasyhurkan dua entiti utama Universiti Sains Malaysia (USM) dalam majlis yang berlangsung di Istana Arau, di sini, hari ini.

Penamaan semula entiti tersebut membabitkan kampus Kejuruteraan USM yang ditukar kepada kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin manakala Pusat Pakar Klinikal dan Penyelidikan Kanser USM pula ditukar kepada Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Tuanku Syed Sirajuddin merangkap Canselor USM bertitah, penamaan semula sesebuah entiti institusi pendidikan tinggi itu bukan sekadar bersifat simbolik malah turut mencerminkan amanah, penghargaan serta legasi yang ingin diwariskan kepada generasi akan datang.

“Dalam hal ini, beta berharap agar universiti ini kekal berperanan sebagai institusi kemasyarakatan yang seimbang, menggabungkan kemajuan Sains dan teknologi dengan nilai kemanusiaan, ihsan, tanggungjawab dan sosial demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negara,” titah baginda.

Turut berangkat pada majlis itu adalah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan baginda disambut oleh Naib Canselor USM, Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed.

Sementara itu, Abdul Rahman sewaktu mempersembahkan ucapannya berkata, pemasyhuran kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin memperlihatkan peranan institusi pengajian itu sebagai pusat kecemerlangan pendidikan, penyelidikan dan inovasi teknologi tinggi.

“Kampus cawangan USM yang asalnya adalah di Seri Iskandar, Perak, dan dikenali sebagai kampus cawangan Perak (KCP) pada 1986, serta kembali ke Pulau Pinang pada 2001 sebagai kampus Kejuruteraan. Kini ia secara rasmi dimasyhurkan sebagai kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin USM.

“Ia juga berperanan sebagai hab utama dalam pembangunan teknologi semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), pembungkusan elektronik termaju serta pelbagai cabang kejuruteraan lain menerusi pelaksanaan inisiatif kerjasama strategik dengan rakan industri di peringkat global serta tempatan,” katanya.

Ujar beliau, pemasyhuran pusat kanser itu pula adalah bagi menghargai jasa bekas Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang berjuang dalam pembangunan pendidikan dan kesihatan negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN