SEREMBAN: Polis sedang memburu dua lelaki yang merupakan suspek kejadian samun sebuah kedai emas di dalam sebuah pasar raya di Bandar Baru Nilai di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden samun itu pada pukul 8.30 malam melibatkan kerugian berjumlah RM60,000.
“Siasatan awal mendapati kejadian tersebut melibatkan dua suspek lelaki dipercayai warga tempatan yang bertutup muka serta memakai helmet sebelum melarikan diri menaiki sebuah motosikal.
“Salah seorang suspek turut disyaki menggunakan senjata api jenis pistol namun tiada sebarang tembakan dilepaskan serta tiada kecederaan dilaporkan setakat ini,” katanya dalam kenyataan.
Johari berkata, ketika kejadian hanya dua pekerja berada di dalam premis berkenaan dan tiada pelanggan di kedai tersebut.
Katanya, suspek dipercayai melarikan kira-kira 15 dulang barangan kemas terdiri daripada cincin, loket, gelang dan rantai dengan anggaran kerugian hampir RM60,000.
“Hasil siasatan juga mendapati suspek menggunakan sebuah beg penghantaran berwarna oren bagi menyimpan barangan kemas yang disamun,” katanya yang memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 4, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.-UTUSAN.










