KUALA LUMPUR: Semua keputusan perolehan membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dibekukan sementara.
Langkah tegas diambil kerajaan itu sebagai maklum balas bagi memastikan tiadanya kompromi terhadap integriti, ketelusan dan tatacara kewangan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu juga dibuat bagi membolehkan siasatan berjalan tanpa gangguan.
Selain itu, ia juga bagi memberi ruang penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi berkaitan untuk mengambil tindakan.
Beliau berkata, kerajaan tidak akan sesekali mencampuri urusan penyiasatan namun tindakan menyeluruh perlu diambil.
Katanya, ia bagi menutup setiap kelompongan sistem perolehan yang membuka ruang kepada penyelewengan.
“Kalau kita tidak bertindak tegas, kesannya bukan kecil. Kita akan menanggung bala.
“Ia malapetaka kepada ekonomi rakyat. Sebab itu kita beri ruang kepada SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dan pelaksanaan Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 untuk bertindak menyelamatkan negara
“Kalau RM10 juta atau RM20 juta diambil secara tidak sah, wang itu sepatutnya kembali kepada kerja-kerja pasukan di bawah, termasuk tentera atau projek-projek kecil yang memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju di sini, semalam.
Tambah Anwar, beliau juga sedang menunggu laporan berhubung kewujudan kelompongan dan kelemahan dalam sistem perolehan agensi terlibat sedia ada.
“Kadang-kadang kita beri setengah juta ke bawah itu ruang yang mudah (diseleweng atau dimanipulasi) untuk masing-masing jabatan, termasuk Kementerian Pertahanan,” katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri memuji tindakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mengeluarkan kenyataan jelas untuk meneliti semula, menyusun dan memperketatkan keseluruhan proses perolehan dalam kementerian itu.
Dalam pada itu, beliau mengkritik sikap segelintir pihak yang mempertahankan amalan rasuah atau memandang ringan tindakan penguatkuasaan termasuk dalam kalangan tokoh politik.
“Walaupun tindakan diambil, ada pihak yang kadang-kadang memandang ringan soal rasuah, ada suara-suara yang mempertahankan. Di Parlimen umpamanya, apabila kita ambil tindakan kepada mantan-mantan menteri yang punya kekayaan berbilion itu, kadang disinggung, kita disanggah.
“Bukan untuk didukung dan diberikan kerjasama. Ini yang berlaku. Jadi budaya buruk, budaya merosakkan itu harus diperbaiki segera,” ujarnya.
Anwar dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya tidak memandang serong terhadap mana-mana kementerian atau pasukan keselamatan yang sedang berdepan isu termasuk berkaitan siasatan rasuah.
Sebaliknya, menurut beliau, tindakan diambil adalah tertumpu kepada individu tertentu yang terlibat sahaja.
“Jangan ada pandangan serong terhadap kementerian atau pasukan. Kita ambil tindakan kepada pegawai-pegawai tertentu yang terlibat.
“Seperti isu rasuah, ia melibatkan kumpulan kecil. Saya mahu rakan-rakan saya dalam pasukan keselamatan, tentera dan polis merasakan bahawa mereka keseluruhannya berwibawa, cekap dan telah banyak berkorban,” katanya.-UTUSAN.











