Perancis tekad segerakan larangan media sosial bawah 15 tahun

Perancis tekad segerakan larangan media sosial bawah 15 tahun

EMMANUEL MACRON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron mahu kerajaannya menyegerakan proses perundangan bagi memastikan larangan penggunaan media sosial terhadap kanak-kanak di bawah usia 15 tahun dapat dilaksanakan sebelum sesi persekolahan baharu bermula September depan.

Dalam satu video yang dikeluarkan lewat Sabtu oleh rakan sekutu CNN, BFMTV, Macron menegaskan komitmennya untuk melindungi generasi muda daripada eksploitasi digital.

“Otak anak-anak dan remaja kita bukan untuk dijual. Emosi mereka juga bukan untuk dijual atau dimanipulasi, sama ada oleh platform Amerika Syarikat (AS) mahupun algoritma dari China,” tegas beliau.

Menurut Macron, langkah itu adalah sebahagian daripada peraturan yang lebih luas untuk mewujudkan persekitaran digital yang lebih sihat.

“Kami melarang media sosial untuk golongan bawah 15 tahun dan kami akan mengharamkan penggunaan telefon bimbit di sekolah menengah. Saya percaya ini adalah peraturan yang sangat jelas bagi remaja, keluarga dan guru,” katanya.

Pengumuman Macron itu menyusul selepas beberapa negara Barat mula mengambil langkah drastik untuk melindungi belia daripada potensi bahaya media sosial.

Australia mendahului langkah tersebut dengan menguatkuasakan undang-undang bersejarah pada Disember lalu yang mengharamkan golongan bawah 16 tahun daripada memiliki akaun Instagram, TikTok, Facebook, dan platform lain.

Selain Perancis, kerajaan Britain juga dilaporkan sedang mempertimbangkan langkah serupa bagi melindungi kanak-kanak dalam talian.

Larangan di Perancis ini diterajui oleh Laure Miller, ahli parlimen daripada parti Renaissance pimpinan Macron. Miller menyatakan bahawa tindakan tegas perlu diambil kerana sistem sedia ada gagal menghalang akses kanak-kanak.

“Sekarang ini, tiada pengesahan umur dilakukan. Sesiapa sahaja boleh memasukkan sebarang tarikh lahir dan mengakses platform tersebut. Melalui Akta Perkhidmatan Digital (DSA) Eropah, kami mahu mewajibkan platform melaksanakan pengesahan umur yang sebenar. Pengguna perlu membuktikan umur mereka sebelum dibenarkan masuk,” jelas Miller.

Meskipun menyedari akan wujud cara untuk memintas sekatan tersebut, Miller menegaskan bahawa kerajaan perlu mengambil langkah pertama dalam melindungi kanak-kanak di alam maya.

Sejak larangan di Australia dikuatkuasakan, lebih 4.7 juta akaun media sosial yang dipercayai milik golongan bawah 16 tahun telah dinyahaktifkan atau dipadamkan.

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, menyatakan langkah itu diambil bagi menyahut rayuan ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka membesar dalam persekitaran yang lebih semula jadi dan kurang terdedah kepada kesan sosial yang buruk. -CNN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN