Pas tiada masalah Muhyiddin calon Pengerusi Majlis Presiden PN

Pas tiada masalah Muhyiddin calon Pengerusi Majlis Presiden PN

TAKIYUDDIN Hasan bercakap mengenai cadangan supaya Muhyiddin Yassin diangkat sebagai Pengerusi Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Pas Pusat, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pas tidak ada masalah menyokong cadangan supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin diangkat sebagai Pengerusi Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, bagaimanapun keputusan itu perlu diputuskan dalam kalangan presiden-presiden parti gabungan PN itu.

“Tiada masalah, (tetapi) Majlis Presiden (PN) yang perlu tentukan, bukan orang lain. Mesti dalam kalangan presiden-presiden parti, kalau semua setuju.

“(Dalam pertemuan sebelum ini) tiada apa-apa keputusan dibuat berhubung perkara ini. (Apa) yang dibuat adalah kuasa atau jurisdiction majlis presiden itu dikaji semula untuk ditingkatkan lagi,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan menamakan Muhyiddin sebagai Pengerusi Majlis Presiden PN yang dilapor sudah dipersetujui dalam pertemuan pemimpin utama Pas dan Bersatu bersama Muhyiddin baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, jika ada dibincangkan sekali pun, sebaiknya keputusan itu mesti diputuskan dalam kalangan pemimpin utama PN yang berada dalam Majlis Presiden PN.

“(Pertemuan) itu di luar mesyuarat. Saya bayangkan bila Majlis Presiden dipanggil mesyuarat, di situ mereka lantik antara empat (presiden) ini, sama ada setuju atau tak setuju. (Segala keputusan dalam pertemuan) tidak terpakai. Kena buat dalam mesyuarat Majlis Presiden,” katanya.

Selain Muhyiddin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Majlis Presiden PN turut dianggotai Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau serta Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan.

Terdahulu media melaporkan, PN dijangka menubuhkan Majlis Presiden sebagai jalan tengah untuk kedua-dua parti itu, sekali gus membuka ruang untuk Muhyiddin terus berperanan dalam gabungan terbabit selepas ini.

Keputusan itu, menurut laporan itu sekali gus menyaksikan Muhyiddin akan diberi peranan sebagai Pengerusi Majlis Presiden PN yang akan dibentuk kelak, sementara tugas pentadbiran diberi kepada Pas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN