KUALA LUMPUR: Pas menafikan perbezaan pendekatan antara pemimpin Pas Pusat dan Majlis Syura Ulama yang dipengerusikan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan membuat penafian itu sambil menegaskan, pimpinan Pusat turut menganggotai sebagai Ahli Majlis Syura Ulama Pas, termasuk Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Kalau ditanya mengenai Majlis Syura Ulama, ia melibatkan 17 ahli. Bukan seorang ahli sahaja. Kalau Majlis Syura buat sebarang keputusan, ia mesti masuk dalam mesyuarat dulu.
“Sebab dalam Pas Pusat, ada Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ketua Dewan Ulama’,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Pas Pusat, di sini hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kemelut politik di Perlis yang menyaksikan peletakan jawatan Mohd. Shukri Ramli sebagai Menteri Besar dan pengguguran keahlian tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas menunjukkan perbezaan pendekatan antara kepimpinan Pas Pusat dan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin.
Dalam keadaan di mana Pas Pusat menekankan naratif pengkhianatan terhadap tiga ADUN terbabit, Hashim pula memilih pendekatan perpaduan, sejajar dengan prinsip musyawarah dan keharmonian dalam parti serta Perikatan Nasional (PN). – UTUSAN










