WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump merancang untuk membekukan AS$10 bilion (RM40 bilion) dana persekutuan yang disalurkan untuk subsidi penjagaan kanak-kanak, perkhidmatan sosial dan bantuan tunai kepada keluarga berpendapatan rendah di lima negeri yang dikawal oleh Demokrat.
Tindakan itu dibuat atas alasan penipuan meluas di negeri-negeri terbabit, walaupun tiada bukti khusus yang dikemukakan, susulan satu kes penipuan kebajikan besar di satu daripada negeri tersebut.
Negeri-negeri yang terjejas termasuk Minnesota, New York, California, Illinois dan Colorado, yang akan kehilangan sekitar AS$7 bilion (RM28 bilion) bagi program Bantuan Sementara untuk Keluarga Memerlukan (TANF), yang memberi bantuan tunai kepada isi rumah yang mempunyai anak.
Selain itu, negeri terbabit juga akan kehilangan akses hampir AS$2.4 bilion (RM9.7 bilion) untuk ana Pembangunan Penjagaan Kanak-kanak, yang menyokong penjagaan kanak-kanak bagi ibu bapa bekerja, dan kira-kira AS$870 juta (RM3.5 bilion) bagi geran perkhidmatan sosial yang kebanyakannya memberi manfaat kepada kanak-kanak berisiko.
Langkah membekukan dana itu berpotensi mengancam program yang memberi manfaat kepada ratusan ribu isi rumah berpendapatan rendah di lima negeri berkenaan.
Pembekuan yang dirancang dilihat sebagai lanjutan daripada penangguhan pentadbiran minggu lalu terhadap AS$185 juta (RM748 juta) bantuan tahunan untuk pusat jagaan kanak-kanak di Minnesota, selepas penyiasat mendapati lebih daripada 12 kes penipuan kebajikan di negeri itu menyebabkan kerugian berbilion-bilion dolar kepada pembayar cukai.
Tiada bukti menunjukkan empat negeri Demokrat lain mengalami penipuan kebajikan meluas yang serupa, tetapi jurucaka Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia AS (HHS), Andrew Nixon, yang bertanggungjawab menyalurkan dana, mencadangkan kes penipuan di Minnesota menjadi punca kepada langkah pembekuan tersebut.
“Negeri dan gabenor yang diketuai Demokrat bersubahat membenarkan penipuan besar-besaran berlaku di bawah pengawasan mereka.
“Di bawah pentadbiran Trump, kami memastikan dana pembayar cukai persekutuan digunakan untuk tujuan yang sah,” katanya dalam kenyataan.
Tindakan yang dirancang itu, dilaporkan lebih awal oleh The New York Post, merupakan sebahagian daripada corak pentadbiran Trump mengganggu penyaluran dana persekutuan kepada bandar dan negeri yang dikawal Demokrat, menggunakan pengagihan dana yang diluluskan oleh Kongres sebagai alat untuk menghukum musuh politik.
Semasa penutupan kerajaan pada 2025, pentadbiran tersebut membekukan atau membatalkan lebih daripada 200 projek, yang kebanyakannya terletak di bandar, daerah kongres dan negeri yang dikendalikan Demokrat.- NYTimes










