PETALING JAYA: Pendidikan akan terus menjadi keutamaan negara untuk melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan mampu menongkah cabaran selaras dengan hasrat Kerajaan Madani.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan sistem pendidikan tidak hanya bergantung pada dasar dan peruntukan tetapi juga pada kerjasama erat antara kerajaan, ibu bapa dan warga pendidik.
Beliau berkata, hubungan mantap antara semua pihak ini penting bagi memastikan anak-anak menerima dukungan yang menyeluruh, sama ada di sekolah mahupun di rumah.
“Dengan memastikan pendidikan yang berkualiti, berteraskan nilai dan kemanusiaan, kita lantas meyakini mampu untuk melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak serta mampu menongkah arus cabaran dengan semangat dan keyakinan,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.
Anwar membuat hantaran tersebut selepas melakukan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Besi, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kwong Hon dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sungai Besi.
Lawatan tersebut turut disertai oleh isteri beliau, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Anwar berkata, kunjungan beliau ke tiga sekolah itu adalah untuk memantau pengedaran Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang merupakan inisiatif penting untuk meringankan beban ibu bapa membuat persiapan.
“Dalam lawatan ini, saya berpeluang bertemu dan menyantuni anak-anak kecil yang baru melangkah ke alam persekolahan.
“Melihat keterujaan dan wajah mereka mengingatkan kita bahawa setiap anak tidak hanya menggendong harapan menggunung ibu bapa tetapi turut memikul keyakinan para guru dan cita besar masa depan negara.
“Sekolah, selain tempat menimba ilmu, adalah ruang awal dalam pembentukan sahsiah, disiplin dan jati diri,” katanya. – UTUSAN










