TEHERAN: Presiden Interim Venezuela, Delcy Rodriguez mendakwa Israel terlibat dalam penculikan pemimpin negara itu, Nicolas Maduro yang sebelum ini merupakan antara pengkritik lantang terhadap sekutu AS itu dan rakan strategik rapat Iran.
Penggulingan Maduro secara paksa berlaku kurang seminggu selepas Presiden AS, Donald Trump, bertemu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan mengancam untuk melancarkan serangan baharu terhadap Iran.
Malah, beberapa jam selepas pengumuman penculikan Maduro, ahli politik Israel, Yair Lapid, memberi amaran kepada Teheran pemimpin di Iran harus memberi perhatian terhadap apa yang berlaku di Venezuela.
“Kerajaan di seluruh dunia terkejut kerana Venezuela menjadi mangsa dan sasaran serangan sebegini, yang pastinya mempunyai nuansa Zionis,” kata Rodriguez dipetik Al Jazeera.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, turut menekankan hubungan Maduro dengan Iran, menuduh Caracas tanpa bukti memberi kumpulan bersenjata Hezbollah di Lubnan tapak pengaruh di Hemisfera Barat.
Beliau turut mendakwa penculikan Maduro menghantar mesej jelas kepada semua pihak lawan Washington pada era Trump untuk tidak memandang ringan ancaman yang dikeluarkan Presiden AS itu.
Maduro merupakan sekutu rapat Iran dan kedua-dua negara yang dikenakan sekatan berat itu berusaha untuk meningkatkan hubungan perdagangan yang dianggarkan bernilai berbilion dolar.
Dengan ketiadaan Maduro, rangkaian sekutu Iran mungkin semakin mengecil, selepas kejatuhan bekas pemimpin Syria, Bashar al-Assad dan kelemahan Hezbollah di Lubnan.
Walaupun ketegangan Washington dengan Caracas dan Teheran mempunyai akar dan dinamik yang berbeza, penganalisis berpendapat tindakan Trump terhadap Maduro meningkatkan kemungkinan konflik dengan Iran.
“Ketidakpatuhan baharu menjadikan segala-galanya kurang stabil dan perang semakin hampir berlaku.
“Sama ada Trump terpesona dengan ‘penukaran rejim bersasar’ atau memberi Netanyahu kebenaran AS untuk tindakan serupa, sukar untuk tidak melihat bagaimana langkah ini memberi momentum kepada pelbagai pihak yang ingin menyambung semula perang dengan Iran,” kata Presiden Majlis Nasional Iran-Amerika (NIAC), Jamal Abdi.
Pakar Kanan Pusat Polisi Antarabangsa, Negar Mortazavi pula berpendapat, tindakan AS di Venezuela menunjukkan matlamat Trump yang maksimal, sekali gus mengurangkan peluang diplomasi dengan Iran.










