KULIM: Keputusan kerajaan membekukan sementara perolehan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat sebagai langkah penetapan semula yang penting bagi memperkukuh tatakelola dan integriti pengurusan kewangan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, beliau akan segera berbincang dengan Ketua Setiausaha kementerian itu bagi memastikan hasrat Perdana Menteri disahut dan bergerak ke arah sistem perolehan yang lebih telus, berintegriti dan bertanggungjawab.
Beliau berkata, langkah itu juga wajar diambil memandangkan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan merupakan antara kementerian terbesar daripada segi peruntukan iaitu kira-kira RM20 bilion setahun.
“Saya melihat langkah ini sebagai satu reset (penetapan semula), terutama kerana akhir-akhir ini (ada isu penyelewengan).
“Apabila saiz peruntukan besar, selain belanja pengurusan ada belanja pembangunan termasuk kontrak, tender dan perolehan seperti pesawat, kapal, kapal terbang dan sistem teknologi maklumat (IT),” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Pusat Khidmat Rakyat di Lunas, Padang Serai, malam semalam.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan untuk membekukan sementara keputusan perolehan membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PDRM dibuat bagi membolehkan siasatan berjalan tanpa gangguan serta memberi ruang penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi berkaitan untuk mengambil tindakan.
Sementara itu, menurut Saifuddin, secara amnya setiap kementerian mempunyai jawatankuasa perolehan tersendiri yang menentukan jenis tender yang akan dibuka kepada pihak pembekal.
“Contoh jika Jabatan Pendaftaran Negara menjadi pengguna, mereka akan menyediakan spesifikasi sendiri. Begitu juga jika PDRM mahu membuat perolehan motosikal baharu, pihak polis akan menetapkan spesifikasi teknikalnya. Itu memang proses biasa,” jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, Perdana Menteri berpandangan terdapat keperluan untuk menilai semula keseluruhan sistem perolehan khususnya bagi memastikan ia benar-benar selari dengan prinsip ketelusan dan akauntabiliti.
Beliau sehubungan itu menegaskan, Kementeran Dalam Negeri menyambut baik arahan itu kerana ia selari dengan hala tuju reformasi yang sering ditekankan Perdana Menteri khususnya dalam usaha mencegah penyelewengan dan memperkukuh amalan tatakelola yang baik.
“Dalam soal perolehan, setiap sen wang rakyat mesti dipertanggungjawabkan. Parlimen telah meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan dan itu sendiri adalah sebahagian daripada agenda reform,” katanya.-UTUSAN.










