KUALA LUMPUR: Pelaksanaan cadangan pendidikan yang melibatkan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke Darjah Satu perlu ditangguhkan kerana ia dibuat terlalu tergesa-gesa dan belum melalui proses perancangan yang matang.
Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad berkata, dasar tersebut berisiko menjadikan kanak-kanak sebagai ‘bahan makmal’ dan boleh memberi kesan jangka panjang kepada satu generasi jika dilaksanakan tanpa penelitian sewajarnya.
“Cuba bayangkan satu polisi yang tidak pernah dibuat sebelum ini, tetapi mahu dilaksanakan dalam tempoh yang begitu singkat. Kita tidak mahu anak-anak kita dijadikan bahan ujikaji,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, kerajaan perlu memastikan cadangan tersebut melalui libat urus menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan termasuk guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pengusaha tadika serta ibu bapa sebelum sebarang pelaksanaan dibuat.
Menurut Idris, pengenalan ujian diagnosis kepada kanak-kanak seawal usia lima atau enam tahun bertentangan dengan semangat pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang bertujuan mengurangkan tekanan akademik murid di peringkat sekolah rendah.
“Dasar ini berpotensi memberi impak emosi negatif jika seorang kanak-kanak lulus ujian manakala rakan sebaya gagal. Kita perlu memikirkan kesan psikologi kepada anak-anak,” katanya.
Dalam pada itu, Idris berkata, dasar pendidikan yang diperkenalkan juga dilihat tidak konsisten disebabkan oleh keputusan kerajaan.
“Sebelum ini kita dengar Perdana Menteri kata ia adalah pilihan ibu bapa, kemudian kerajaan memperkenalkan ujian saringan, dan akhirnya hanya melaksanakan dasar itu di sekolah yang mempunyai fasiliti mencukupi,” katanya.
Selain itu, Idris turut mendesak kerajaan supaya menangguhkan pelaksanaan cadangan tersebut, membentangkan pelan perancangan yang berasaskan data sebelum sebarang keputusan dibuat serta mengadakan libat urus menyeluruh dengan semua pemegang taruh termasuk PIBG, pengusaha tadika dan pihak swasta.
Menurutnya, kerajaan perlu menyelesaikan isu pokok pendidikan terlebih dahulu, antaranya kekurangan guru, bebanan tugas bukan pengajaran dan kualiti fasiliti sekolah yang masih belum memadai di banyak kawasan.
“Isu sebenar pendidikan hari ini bukan soal umur lima atau enam tahun, tetapi soal masa depan generasi. Dasar yang dilaksanakan mesti matang dan menyeluruh demi kepentingan anak dan cucu pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










