Naik caj rawatan tidak mampu selesai isu kesihatan negara

Naik caj rawatan tidak mampu selesai isu kesihatan negara

NOOR Hisham Abdullah ketika ditemui Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, kelmarin.-UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menaikkan caj rawatan kesihatan daripada RM1 ke RM5 atau nilai yang le­bih besar tidak akan menyelesaikan isu kesihatan rakyat selagi struktur sistem kesihatan tidak dirombak.

Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, perdebatan mengenai kenaikan fi rawatan di fasiliti kerajaan sering tersasar kerana ia hanya menyentuh soal kadar bayaran, bukan struktur sistem kesihatan secara keseluruhan.

Katanya, kerajaan menggu­­­n­a­­­kan dana pembayar cukai jus­te­­­ru sebarang perubahan kecil pada fi rawatan mudah menjadi isu politik oleh segelintir pihak.

“Apabila kita ubah RM1 kepada RM5 atau RM10, terus jadi isu politik. Tetapi kalau kita ubah keseluruhan sistem pembiayaan kesihatan, itu lebih mampan. Jangan politikkan isu yuran perubatan ini.

“Yang penting adalah ba­gai­mana kita kurangkan impak kos kepada rawatan perubatan dalam negara. Banyak cara kita boleh kerjasama untuk kurangkan kos. Apabila setiap individu da­lam negara ada insurans, me­reka boleh memilih untuk ke swasta atau awam. Itu yang terbaik tetapi tidak dilaksanakan.

“Kita sudah bincang 45 tahun dahulu dengan 15 kertas kerja, tetapi tidak ada kesungguhan politik (political will) untuk me­laksanakan usaha itu. Jadi kalau nak ubah bukan kos tetapi sistem itu sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Belanjawan 2026 memperun­tukkan RM46.5 bilion untuk sektor kesihatan, naik daripada RM45.3 bilion tahun lalu yang memfokuskan kepada reformasi holistik termasuk naik taraf fasiliti, pembelian peralatan baharu dan peningkatan ketersambungan digital.

Beliau berkata, sepanjang tempoh sebagai Ketua Pengarah Kesihatan, pelbagai usaha dilakukan bagi mengoptimumkan penggunaan dana sedia ada tanpa kos tambahan, termasuk pelbagai inovasi dan pendekatan kreatif untuk memastikan pesakit mendapat rawatan terbaik.

“Macam-macam inovasi te­lah kita laksanakan, tapi sekarang mungkin sudah sampai hadnya. Ibarat kain, sudah ditarik habis, tidak boleh kita tarik lagi,” katanya.

Dr. Noor Hisham berkata, peruntukan untuk kesihatan negara masih sekitar empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), jauh di bawah sasaran minimum enam hingga 10 peratus.

“Sepatutnya Kementerian Ke­sihatan menerima sekitar RM60 bilion setiap tahun, tetapi kini hanya lebih kurang RM40 bilion. Jumlah ini jelas tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan kesihatan negara,” katanya.

Beliau turut mengulas ma­salah dalam industri kesihatan negara termasuk isu doktor kontrak dan tindakan segelintir jururawat yang memilih untuk bekerja di luar negara.

Katanya, keperluan untuk menjaga kebajikan tenaga kerja kesihatan, termasuk doktor kontrak dan jururawat perlu diberikan penekanan.

Katanya, antara masalah jelas yang dihadapi oleh petugas kontrak termasuk kesukaran mendapatkan pinjaman, peluang melanjutkan pengajian dan gaji yang masih rendah berbanding beban kerja.

“Contohnya, doktor kontrak tidak boleh buat pinjaman kereta, susah nak sambung pascasiswazah. Jururawat pula kerja banyak tapi gaji rendah. Kalau dibandingkan dengan Singapura, gaji jururawat di sana tiga kali ganda lebih,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN