YALA (THAILAND): Salah seorang suspek pengeboman 11 stesen minyak di selatan Thailand maut selepas berbalas tembakan hampir lima jam dengan pasukan keselamatan di Mukim Sateng Nok, di sini, semalam.
Suspek, Nasrulleh Samae, dipercayai antara pemimpin utama kumpulan bersenjata yang melancarkan serangan te-rancang terhadap stesen minyak di Narathiwat, Yala dan Pattani pada 11 Januari lalu.
Sumber Pusat Perintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, operasi khas dilancarkan oleh Pasukan Petugas Khas Narathiwat pada 12.20 tengah malam selepas menerima maklumat risikan dan aduan penduduk setempat.
Pasukan keselamatan mengesyaki sekurang-kurang-nya tiga suspek bersembunyi di dalam rumah berkenaan sebelum kawasan itu dikepung dan arahan menyerah diri dikeluarkan.
“Rundingan melibatkan pasukan keselamatan dan pemimpin tempatan berlangsung sehingga kira-kira pukul 3.50 pagi, tetapi gagal apabila suspek bertindak melepaskan tembakan.
“Susulan itu, pasukan ke-selamatan terpaksa membalas tembakan, mencetuskan pertempuran sengit yang hanya berakhir sekitar pukul 8.20 pagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Sumber memberitahu, pemeriksaan lanjut di lokasi mendapati salah seorang suspek terbunuh dalam pertempuran itu manakala dua lagi dipercayai meloloskan diri.
Katanya, kawalan keselamatan di kawasan sekitar diperketat bagi memburu saki-baki kumpulan bersenjata berkenaan.
Sumber sama menegaskan operasi dijalankan mengikut prinsip hak asasi manusia, moral dan etika, selaras prosedur operasi standard.
“Pemantauan terhadap sasaran berisiko dipertingkatkan berikutan kemungkinan kumpulan itu bertindak balas selepas kehilangan ketua mereka,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, tiga wilayah selatan negara ini iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat digegarkan dengan letupan bom melibatkan 11 buah stesen minyak.
Sumber Perintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, serangan bom serentak kira-kira pukul 1.04 pagi itu, melibatkan lima stesen minyak PPT di Wilayah Narathiwat, Yala (empat buah) dan Pattani (dua buah). – UTUSAN











