KOTA BHARU: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan meneliti semula tawaran diskaun saman yang diberikan kepada pemandu van persendirian Thailand yang memasuki Malaysia tanpa Permit Edaran Antarabangsa (ICP).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, tawaran diskaun yang diberikan bagi kesalahan tidak memiliki ICP dan kesalahan trafik lain merupakan bentuk budi bicara pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Katanya, kadar saman yang ditetapkan menjadi lebih berpatutan sekiranya pesalah trafik termasuk pemandu van Thailand membayar pada waktu tertentu.
“Kita akan lihat semula jika ada perkara yang bermasalah jika langkah itu tidak efektif (tawaran diskaun). Kita akui ada van dari Thailand masuk ke negara melalui Kelantan khusus melakukan kesalahan (tiada ICP).
“Justeru, MOT akan lihat semula daripada aspek keberkesanan (tawaran diskaun) kepada pemandu van Thailand,” katanya pada sidang akhbar selepas Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST)-Bas.My di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud dan Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail.
Anthony memberitahu, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan JPJ berhubung tawaran diskaun kepada pemandu van persendirian Thailand dalam masa terdekat.
Berdasarkan rekod, pemandu kenderaan persendirian Thailand yang menyalahgunakan ICP akan dikenakan saman sebanyak RM300, namun diskaun diberikan 50 peratus menjadi RM150 sekiranya saman tersebut dibayar dalam kadar segera.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, pemandu van persendirian Thailand mampu meraih pendapatan mencecah RM30,000 sebulan hasil mengangkut pekerja kedai tomyam masuk ke negara ini tanpa menggunakan Permit Edaran Antarabangsa (ICP).
Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, siasatan mendapati, setiap seorang penumpang dari negara Gajah Putih itu dikenakan bayaran tambang RM70 hingga RM150.-UTUSAN










