WASHINGTON: Gergasi teknologi Meta bakal menguji langganan premium untuk pengguna Instagram, Facebook dan WhatsApp dalam beberapa bulan akan datang, sebagai sebahagian daripada eksperimen terbaharunya dengan perkhidmatan berbayar.
Tawaran baharu itu akan memberikan akses kepada ciri-ciri, termasuk keupayaan kecerdasan buatan (AI) yang dipertingkatkan.
Di bawah perancangan tersebut, akses kepada perkhidmatan teras platform berkenaan akan kekal percuma.
Syarikat itu juga merancang untuk menguji langganan bagi ciri seperti aplikasi penjanaan video Vibes, yang menurut Meta mampu ‘menghidupkan idea dengan alat penciptaan visual berasaskan AI yang baharu’.
Meta mengumumkan Vibes pada September sebagai sebahagian daripada versi terbaharu aplikasi Meta AI.
Syarikat itu juga bercadang untuk menggunakan Manus, firma AI yang diasaskan di China dan dibeli Meta pada Disember lalu dengan nilai dianggarkan AS$2 bilion (RM7.9 bilion), dalam rancangan langganannya, menurut TechCrunch yang pertama melaporkan perkara tersebut.
Meta juga akan terus menawarkan langganan Manus secara berasingan kepada syarikat.
Pada masa itu, Meta berkata perjanjian tersebut akan membantu meningkatkan AI miliknya dengan memberikan pengguna akses kepada ‘ejen’, alat yang boleh melakukan tugasan kompleks dengan interaksi minimum, seperti merancang perjalanan atau menghasilkan pembentangan.
“Bakat luar biasa Manus akan menyertai pasukan Meta untuk membangunkan ejen serba guna merentasi produk pengguna dan perniagaan kami, termasuk Meta AI,” kata syarikat itu dalam satu catatan blog.
Berpusat di Singapura selepas berpindah dari China, Manus berusaha membezakan dirinya daripada pembangun AI lain dengan mendakwa ia mampu menjadi ejen yang ‘benar-benar autonomi’.
Berbeza dengan banyak chatbot lain yang perlu diminta berulang kali sebelum pengguna mendapat respons diingini, Manus berkata perkhidmatannya mampu merancang, melaksanakan dan menyiapkan tugasan secara bebas mengikut arahan.
Januari lalu, Beijing berkata ia akan menyiasat perjanjian Meta itu bagi menilai sama ada melanggar undang-undang eksport teknologi China atau peraturan keselamatan negara.
Tahun lalu, Facebook menguji had perkongsian pautan bagi sesetengah pengguna ketika mereka membuat hantaran di platform media sosial itu.
Notifikasi yang dilihat oleh beberapa pengguna di UK dan AS memaklumkan mereka hanya boleh berkongsi sejumlah pautan tertentu dalam hantaran Facebook tanpa langganan.
Syarikat itu menyifatkannya sebagai ‘ujian terhad untuk memahami sama ada keupayaan menerbitkan jumlah hantaran dengan pautan yang lebih banyak memberi nilai tambahan’ kepada pelanggan berbayar.- BBC










