KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 15 Mei depan untuk keputusan semakan kehakiman tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencabar keputusan Menteri Kesihatan mengenyahkan cecair nikotin daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952.
Hakim Datuk Aliza Sulaiman menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah daripada pihak-pihak terlibat.
Pada prosiding hari ini, plaintif-plaintif iaitu Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MKTM); Pertubuhan Green Lung Malaysia (MGLA) dan Voice of Children (VOC) diwakili peguam, K. Shanmuga manakala Menteri Kesihatan dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua, diwakili Peguam Persekutuan Kanan, Nurhafizza Azizan.
Pada 28 Jun 2023, kesemua plaintif memfailkan semakan kehakiman itu atas alasan tindakan mengeluarkan cecair nikotin daripada Senarai Racun sebagai salah, tidak rasional dan tidak mengikut prosedur.
Terdahulu ketika berhujah, Shanmuga menyatakan bahawa tindakan mengeluarkan nikotin cecair daripada Senarai Racun pada 31 Mac 2023 menyebabkan produk vape pada hakikatnya tidak dikawal selia dan membolehkan ia dijual secara sah kepada kanak-kanak.
“Keadaan ini berlarutan hampir 17 bulan, sehingga Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) akhirnya berkuat kuasa pada Oktober 2024,” katanya.
Tambah peguam itu, isu yang dibangkitkan akan memberi manfaat kepada kepentingan awam serta menjadi panduan kepada tingkah laku pada masa hadapan berkaitan Akta Racun.
Sementara itu, Nurhafizza menghujahkan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 telah dibentangkan dan diluluskan oleh Parlimen pada 30 November 2023.
“Antara peruntukan yang terkandung dalam rang undang-undang tersebut termasuk larangan penjualan dan penggunaan rokok, produk tembakau, produk merokok dan produk pengganti tembakau kepada golongan bawah umur.
“Responden berhujah bahawa dengan kelulusan rang undang-undang tersebut, tidak lagi wujud kelompangan dalam undang-undang berkaitan kawalan penggunaan dan penjualan vape serta rokok elektronik kepada orang awam secara amnya dan khususnya kepada golongan bawah umur,” katanya.
Nurhafizza turut menghujahkan bahawa menteri (Menteri Kesihatan ketika itu, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa) telah dengan jelas melaksanakan kuasa yang diberikan oleh badan perundangan menurut Seksyen 6 Akta Racun ketika membuat keputusan tersebut.
Beliau berkata, Seksyen 6 Akta Racun dengan nyata memberi kuasa kepada menteri untuk meminda Senarai Racun selepas berunding dengan Lembaga Racun dan perundingan tersebut telah diadakan pada 29 Mac 2023.
Tambahnya, berdasarkan perkembangan terbaharu ini, permohonan tersebut telah menjadi bersifat akademik.
Menurut afidavit yang difailkan kesemua NGO, mereka mendakwa sebagai Menteri Kesihatan, defendan pertama itu telah gagal menjalankan tanggungjawabnya untuk menjaga kesihatan awam.
Ini kerana, tindakan mengecualikan nikotin daripada Akta Racun telah memudaratkan kesihatan awam khususnya kanak-kanak – kumpulan paling terdedah dalam masyarakat.
Selain itu, plaintif mendakwa Menteri telah bertindak tanpa mengambil kira pandangan Lembaga Racun dan tidak menyatakan alasan munasabah untuk bertindak bertentangan dengan keputusan yang dibuat oleh lembaga berkenaan.
Justeru, plaintif-plaintif memohon satu pengisytiharan bahawa pengecualian yang dipertikaikan adalah tidak rasional, pengecualian tersebut telah dibuat tanpa perundingan sewajarnya atau mencukupi dengan Lembaga Racun dan oleh yang demikian adalah melampaui kuasa (ultra vires) Seksyen 6 Akta 366.
Kesemua plaintif turut memohon pengisytiharan kuasa Menteri untuk meminda Senarai Racun tanpa sebarang pengawasan oleh Parlimen, tidak selaras dengan Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu adalah tidak sah. – UTUSAN









