SEPERTI dijangka, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tidak akan menyambut cadangan agar namanya diangkat sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sikap itu selari dengan pendiriannya sebelum ini apabila beliau tiga kali menolak pencalonan sebagai Naib Presiden Pas, meskipun memiliki sokongan akar umbi yang kuat.
Penolakan berulang kali terhadap jawatan lebih besar dalam Pas dan gabungan PN bukanlah satu kebetulan, sebaliknya membawa signifikan politik yang wajar dibaca dengan cermat.
Pertama, pendirian beliau mencerminkan keutamaan terhadap amanah pentadbiran negeri berbanding mengejar kedudukan tertinggi parti. Sebagai Menteri Besar, beliau dilihat mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada agenda pembangunan Kedah.
Dalam konteks ini, menolak jawatan besar parti atau gabungan memberi mesej jelas bahawa prestasi pentadbiran tidak boleh dikompromi oleh percaturan kuasa.
Kedua, penolakan itu boleh diandaikan sebagai usaha untuk mengelak pemusatan kuasa terhadap satu tokoh. Dalam landskap politik Malaysia yang sering dikritik kerana terlalu bergantung kepada individu tertentu, sikap Muhammad Sanusi boleh ditafsir sebagai langkah menyuburkan budaya kepimpinan kolektif.
Ini penting bagi memastikan kesinambungan sesuatu parti tidak bergantung kepada populariti seorang tokoh semata-mata.
Dalam kerangka Pas pula, penolakan jawatan Naib Presiden oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu sebelum ini, memberi ruang kepada kepimpinan sedia ada untuk mengekalkan keseimbangan antara ulama dan profesional.
Muhammad Sanusi pula dilihat lebih berperanan sebagai ‘aset strategik lapangan’ berbanding pemain utama di meja tertinggi parti. Peranan ini sering kali lebih berkesan dalam menarik sokongan pengundi bukan tradisi Pas.
Bagi PN, nama beliau yang kerap dikaitkan dengan gaya politik lantang dan populis berpotensi mencetuskan polemik jika diangkat ke jawatan tertinggi gabungan. Dengan menolak cadangan itu, beliau juga secara tidak langsung meredakan ‘ketegangan’ peralihan kuasa dalam PN.
Akhirnya, penolakan jawatan besar oleh Muhammad Sanusi boleh dibaca sebagai simbol kematangan politik, bahawa kepemimpinan bukan semata-mata soal jawatan, tetapi soal masa, kesesuaian dan keperluan organisasi.
Dalam era politik yang sarat dengan perebutan kuasa, sikap sedemikian jarang berlaku dan justeru memberi nilai tersendiri kepada imej Pas dan mungkin juga PN.
Kesimpulannya, keputusan beliau bukan tanda mengundur diri daripada politik nasional, tapi langkah strategik yang memperkukuh peranan sebagai pentadbir negeri yang berpengaruh, sambil kekal menjadi aset penting Pas dan PN kerana dalam politik, ada kalanya menolak adalah cara paling kuat untuk memimpin. – UTUSAN










