PETALING JAYA: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) memberi amaran bahawa peralihan ke fasa kedua gencatan senjata di Gaza berisiko menjadi jenayah perang berterusan, selagi tiada akauntabiliti dikenakan terhadap pelanggaran tersebut.
Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, sepanjang 95 hari fasa pertama gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025 lalu, Israel didakwa melanggar perjanjian itu secara berterusan dengan lebih 1,200 insiden direkodkan.
Menurutnya, sebanyak 1,244 pelanggaran dicatatkan termasuk tembakan langsung ke arah orang awam, pencerobohan ketenteraan ke kawasan perumahan, pengeboman rumah penduduk serta perobohan bangunan awam dan institusi penting setakat 15 Januari lalu.
“Akibat pelanggaran ini, seramai 449 rakyat Palestin dilaporkan syahid, 1,246 lagi cedera manakala 50 orang ditahan secara haram.
“Ini bukan insiden kecil tetapi satu pola pelanggaran yang disengajakan dan tergolong sebagai pelanggaran berat undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan yang dihantar kepada Utusan Malaysia.
Katanya, Mapim turut menegaskan bahawa Israel dengan sokongan Amerika Syarikat telah melanggar pelaksanaan protokol kemanusiaan yang terkandung dalam perjanjian gencatan senjata, khususnya berkaitan kemasukan bantuan ke Gaza.
Katanya, daripada 57,000 trak bantuan yang sepatutnya dibenarkan masuk, hanya 24,611 trak dibenarkan melepasi sekatan iaitu kadar pematuhan sekitar 43 peratus, manakala bekalan bahan api lebih kritikal apabila hanya 601 trak dibenarkan masuk berbanding 4,750 yang dijanjikan.
“Sekatan ini telah melumpuhkan operasi hospital, bakeri, sistem air dan sanitasi serta perkhidmatan kecemasan. Ini bukan kegagalan logistik, tetapi dasar kebuluran terancang dan hukuman kolektif terhadap penduduk Gaza,” katanya.
Dalam pada itu, krisis perlindungan di Gaza dikatakan semakin parah apabila Israel terus menghalang kemasukan rumah mudah alih, karavan dan khemah menyebabkan lebih 1.5 juta pelarian terdedah tanpa perlindungan ketika musim sejuk.
Menurut Mohd. Azmi, lebih 127,000 khemah tidak lagi boleh digunakan, manakala kematian akibat kesejukan melampau dilaporkan, khususnya melibatkan kanak-kanak dan warga emas.
Katanya, Mapim meletakkan tanggungjawab penuh ke atas Israel atas semua kematian dan kemusnahan sepanjang tempoh gencatan senjata, selain menuntut Amerika Syarikat dipertanggungjawabkan dari segi politik kerana membenarkan tindakan rejim Zionis.
“Mapim menggesa penaja dan penjamin perjanjian, para pengantara, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta komuniti antarabangsa untuk segera memaksa Israel mematuhi sepenuhnya perjanjian gencatan senjata.
“Gencatan senjata yang membenarkan kebuluran, pengeboman dan kematian bukan keamanan. Gaza tidak memerlukan jeda sementara, tetapi penamatan kepungan, perlindungan orang awam, akauntabiliti terhadap jenayah perang dan pemulihan maruah kemanusiaan,” katanya. – UTUSAN










