PETALING JAYA: Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-24 berkuat kuasa mulai esok.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelantikan itu telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 30 Januari lalu.
Katanya, pelantikan tersebut selaras dengan syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri ke-633 (Khas) yang bersidang pada 29 Januari lalu.
“Sepanjang hampir 40 tahun perkhidmatan, beliau telah mempamerkan kebolehan, keupayaan, kecemerlangan serta kepimpinan yang tinggi.
“Beliau memulakan kerjaya sebagai Ketua Platun di Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja dan kemudiannya berkhidmat di pelbagai pasukan serta memegang pelbagai jawatan di peringkat pemerintah dan staf,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohamed Khaled, dengan pengalaman luas serta kredibiliti yang dimiliki, pelantikan tersebut diyakini akan memperkukuh kepimpinan dan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mendepani cabaran pertahanan negara.
“Berdasarkan pengalaman luas serta kredibiliti yang dimiliki, Kementerian Pertahanan yakin pelantikan ini akan memperkukuh kepimpinan dan keupayaan ATM dalam mendepani cabaran pertahanan negara.
“Ia di samping memulihkan dan memperkukuh wibawa ATM melalui kepimpinan yang berteraskan integriti dan profesionalisme serta mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara,” katanya.-UTUSAN.










