Majlis Keselamatan PBB bincang konflik AS-Venezuela esok

Majlis Keselamatan PBB bincang konflik AS-Venezuela esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) dijadualkan bermesyuarat esok, susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) menyerang Venezuela dan menggulingkan Presidennya, Nicolas Maduro.

Langkah itu disifatkan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, sebagai mewujudkan satu amalan berbahaya.

Colombia, dengan sokongan Russia dan China, meminta mesyuarat Majlis Keselamatan yang dianggotai 15 negara itu, menurut diplomat.

Majlis Keselamatan PBB sebelum ini bermesyuarat dua kali pada Oktober dan Disember berhubung ketegangan yang semakin memuncak antara AS dan Venezuela.

Presiden AS, Donald Trump, pada Sabtu berkata Washington akan mentadbir Venezuela sehingga dapat melaksanakan peralihan yang selamat, wajar dan berhemah bila tiba masanya.

Bagaimanapun, masih tidak jelas bagaimana Trump merancang untuk menyelia pentadbiran Venezuela.

“Ini adalah perang kolonial yang bertujuan memusnahkan bentuk kerajaan republik kami yang dipilih secara bebas oleh rakyat, serta memaksa kerajaan boneka yang membolehkan penjarahan sumber semula jadi kami, termasuk rizab minyak terbesar di dunia,” tulis Duta Venezuela ke PBB, Samuel Moncada, dalam surat kepada Majlis Keselamatan PBB pada Sabtu.

Beliau berkata, tindakan AS melanggar Piagam PBB yang menyatakan semua anggota perlu menahan diri dalam hubungan antarabangsa mereka daripada ancaman atau penggunaan kekerasan terhadap keutuhan wilayah atau kemerdekaan politik mana-mana negara.

Tindakan ketenteraan AS yang dilancarkan itu merupakan satu preseden berbahaya, kata jurucakap Guterres, Stephane Dujarric, dalam satu kenyataan.

“Setiausaha Agung terus menegaskan kepentingan penghormatan penuh oleh semua pihak terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk Piagam PBB. Beliau amat bimbang peraturan undang-undang antarabangsa tidak dihormati,” kata Dujarric.

Pentadbiran Trump sejak beberapa bulan lalu menyasarkan bot-bot yang disyaki terlibat dalam penyeludupan dadah di perairan pesisir Venezuela dan pantai Pasifik Amerika Latin.

AS turut meningkatkan kehadiran tenteranya di rantau itu serta mengumumkan sekatan ke atas semua kapal yang tertakluk kepada sekatan AS, termasuk memintas dua kapal tangki yang membawa minyak mentah Venezuela bulan lalu.

Pada Oktober, AS mempertahankan tindakannya sebagai selaras dengan Artikel 51 Piagam PBB, yang mewajibkan Majlis Keselamatan dimaklumkan segera mengenai sebarang tindakan yang diambil oleh sesebuah negara untuk mempertahankan diri daripada serangan bersenjata.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN