Mahkamah India tolak ikat jamin dua aktivis pelajar Islam

Mahkamah India tolak ikat jamin dua aktivis pelajar Islam

SEORANG penunjuk perasaan memegang sepanduk menyeru pembebasan aktivis Umar Khalid semasa demonstrasi 'Freedom March' di New Delhi, 13 September lalu.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Mahkamah Agung India menolak permohonan ikat jamin dua aktivis pelajar Muslim yang bertahun-tahun ditahan tanpa perbicaraan, berhubung kes konspirasi yang dikaitkan dengan kejadian keganasan agama paling dahsyat di negara itu.

Umar Khalid dan Sharjeel Imam ditangkap lima tahun lalu di bawah undang-undang keselamatan negara India yang ketat dan dituduh berkomplot untuk menghasut keganasan kaum di sebahagian New Delhi pada Februari 2020.

Rusuhan itu menyebabkan 53 orang terbunuh, kebanyakannya beragama Islam, dan berlaku di tengah protes besar-besaran berlarutan beberapa bulan terhadap undang-undang kewarganegaraan 2019, yang dikritik kerana mendiskriminasi orang Islam.

Walaupun lima tertuduh lain dalam kes sama dibenarkan ikat jamin, mahkamah menegaskan Umar dan Sharjeel mempunyai peranan utama dalam konspirasi tersebut.

Mahkamah turut menegaskan kelewatan dalam perbicaraan mereka bukanlah alasan yang mencukupi untuk membenarkan ikat jamin.

“Umar Khalid dan Sharjeel Imam berada pada kedudukan yang berbeza secara kualitatif berbanding tertuduh lain,” kata Mahkamah Agung dalam keputusannya, menurut laman web berita perundangan, Bar and Bench.

Pendakwa raya yang mewakili polis New Delhi membantah keras permohonan ikat jamin Umar dan Sharjeel, dengan berhujah keganasan tersebut bukan tercetus secara spontan sebaliknya merupakan komplot terancang yang bertujuan mencemarkan imej India di peringkat global.

Kedua-dua mereka juga turut didakwa menyampaikan ucapan provokatif dan menghasut keganasan.

Bagaimanapun, peguam Umar dan Sharjeel menegaskan tiada bukti yang mengaitkan mereka dengan keganasan dan menafikan semua pertuduhan dikenakan.

Kedua-dua pelajar itu merupakan suara utama dalam protes kebangsaan menentang undang-undang kewarganegaraan, yang dianggap sebagai satu cabaran paling ketara terhadap kerajaan nasionalis Hindu pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi.

Penahanan mereka secara meluas dilihat sebagai simbol kekerasan terhadap penentangan di bawah pentadbiran Modi, mencetuskan kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia berhubung penggunaan undang-undang antikeganasan ke atas aktivis serta pemimpin pelajar.

Dalam beberapa bulan selepas rusuhan, polis mendakwa beberapa aktivis serta penganjur, termasuk Umar dan Sharjeel, di bawah Akta Pencegahan Aktiviti Haram, di mana sebelum ini hanya digunakan untuk ‘menjatuhkan’ pembangkang politik.- AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN